AM

Mesyuarat Agensi Persekutuan Sabah Bincang Isu Pembangunan, Reformasi Perkhidmatan Awam

16/06/2025 03:57 PM

LABUAN, 16 Jun (Bernama) -- Sebanyak 106 jabatan dan 42 badan berkanun Persekutuan di Sabah berkumpul di sini sempena Mesyuarat Penyelarasan Jabatan dan Badan Berkanun Persekutuan Negeri Sabah bagi membincangkan isu utama berkaitan pembangunan, infrastruktur dan tadbir urus.

Mesyuarat yang dipengerusikan Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Seri Rosli Isa di sebuah hotel itu menghimpunkan pengurusan kanan agensi Persekutuan termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bagi tujuan penyelarasan dan perancangan strategik antara agensi.

Antara isu utama yang dibincangkan ialah perkembangan Projek Lebuhraya Pan Borneo, persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah yang akan datang serta usaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam.

Mesyuarat itu turut memberi tumpuan kepada lima kluster utama di bawah agenda reformasi perkhidmatan awam yang sedang berjalan iaitu pendidikan, kesihatan, pengangkutan, penjanaan ekonomi dan perpaduan negara.

Antara perkara penting yang dibangkitkan ialah keperluan menjalankan kajian menyeluruh terhadap kualiti bekalan air di Sabah bagi memastikan ia mematuhi piawaian keselamatan dan kesihatan negara.

Rosli berkata agensi-agensi Persekutuan menekankan bahawa akses kepada bekalan air bersih dan selamat kekal sebagai aspek penting terhadap kesejahteraan rakyat.

Sebagai sebahagian daripada program, Perbadanan Labuan turut diberikan slot bagi mempromosikan penganjuran Festival Flora Borneo (BFF) yang dijangka menarik pengunjung serantau dan meningkatkan profil pelancongan pulau itu.

Pembentangan itu menyerlahkan potensi festival berkenaan dalam mempamerkan keindahan alam semula jadi Labuan, kreativiti komuniti dan daya ekonomi tempatan.

“Mesyuarat ini bukan sahaja untuk mengukuhkan penyelarasan antara agensi-agensi Persekutuan, tetapi juga berperanan menyumbang kepada ekonomi Labuan melalui penglibatan strategik.

“Malah lawatan singkat seperti ini turut memberi impak positif kepada perniagaan tempatan,” katanya.

Program dua hari itu bermula semalam dengan lawatan ke beberapa perusahaan komuniti tempatan termasuk kilang memproses ikan bilis di Kampung Bebuloh, menggambarkan potensi Labuan dalam industri berskala kecil dan pelancongan.

Mesyuarat ini mengukuhkan lagi komitmen Kerajaan Persekutuan dalam mempertingkatkan infrastruktur, menyokong inisiatif kesihatan awam dan memastikan pembangunan yang inklusif di Sabah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan