AM

MPP UUM Kumpul Hampir RM300,000 Bantu Waris, Mangsa Nahas Di Gerik

13/06/2025 07:19 PM

ALOR SETAR, 13 Jun (Bernama) -- Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia (MPP UUM) berjaya mengumpul sebanyak RM290,651 untuk disumbangkan kepada waris dan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat di Gerik, 9 Jun lepas.

MPP UUM dalam kenyataan di Facebook hari ini memaklumkan jumlah itu hasil sumbangan daripada 18,927 penyumbang yang mencerminkan semangat kebersamaan cukup luar biasa dalam saat duka dan mencabar.

"MPP UUM merakamkan setinggi penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia atas solidariti yang luar biasa dan keprihatinan yang dizahirkan.

"Penyerahan rasmi sumbangan ini akan diumumkan dalam hebahan yang akan dimaklumkan kemudian mengikut proses kewangan dan tatacara saluran yang telah ditetapkan. Terima kasih atas sokongan anda semua dan semoga segala kebaikan ini menjadi asbab keberkatan buat kita," menurut kenyataan itu.

Pada Isnin lepas, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih ke kampus utama Tanjung Malim, Perak terlibat dalam kemalangan yang turut melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di JRTB.

Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Perodua Alza.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan