POLITIK

Amanah Perhebat Usaha Tambah Bilangan Ahli - Mohamad

11/06/2025 12:36 AM

BUTTERWORTH, 10 Jun (Bernama) -- Parti Amanah Negara (Amanah) giat menggerakkan usaha menambah bilangan ahli di setiap negeri bagi mengukuhkan parti dan memastikan ia terus relevan dalam gabungan Pakatan Harapan (PH).

Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu berkata parti itu tidak mahu dilihat sebagai ‘penumpang’, sebaliknya sebagai rakan gabungan yang bekerjasama dan menyumbang secara langsung dalam pembentukan kerajaan.

“Kita bergerak di semua negeri sekarang, Amanah adalah sebuah parti kecil tetapi sedang membesar. Jadi, peranan yang dimainkan oleh Amanah setiap negeri sekarang ini sedang diperhebat,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Pejabat Amanah Pulau Pinang dan Kenduri Rakyat di Sungai Dua, di sini malam ini.

Beliau berkata ketika ini Amanah mempunyai sekitar 200,000 keahlian di seluruh negara dan yakin bilangan itu akan meningkat dari semasa ke semasa terutamanya dengan pembukaan pejabat baharu.

Sementara itu, Mohamad berkata Amanah kini sedang di peringkat akhir rundingan berkaitan kerusi akan ditandingi pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah dan proses itu berjalan dengan teliti memandangkan landskap politik di negeri itu lebih kompleks berbanding negeri lain.

“Kita mengharapkan sangat supaya Amanah dapat ‘beranak’ di Sabah. Itu harapan kita,” katanya.

Sebelum ini, Pengarah Pilihan Raya Nasional Amanah Mohd Sani Hamzan berkata Amanah menyasarkan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi pada PRN17 Sabah.

Empat kerusi berkenaan ialah Tanjung Aru, Karambunai, Lumadan dan Sulabayan, masing-masing dalam Parlimen Putatan, Sepanggar, Sipitang dan Semporna.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan