JERTIH, 10 Jun (Bernama) -- Jenazah 13 lagi pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas dan sebuah kenderaan pelbagai guna di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), dekat Gerik, Perak tiba di Masjid Hadhari di sini untuk disembahyangkan.
Konvoi van yang membawa jenazah dari Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, Perak, tiba di pekarangan masjid pada 2.55 pagi tadi dan selesai disembahyangkan pada 3.20 pagi.
Lebih 3,000 jemaah terdiri daripada ahli keluarga, rakan dan penduduk setempat menyertai solat jenazah yang diimamkan Pengerusi Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Suasana di masjid tersebut sayu dan hiba malah kedengaran esakan tangisan ahli keluarga sehingga ada yang terpaksa dipapah kerana terlalu sedih dengan kehilangan insan tersayang.
Selesai disembahyangkan, semua jenazah dibawa ke kampung halaman masing-masing untuk dikebumikan.
Terdahulu, jenazah Wan Nur Suhaila Wan Muhammad dan Muhammad Adib Hazim Halim selamat dikebumikan.
Wan Nur Suhaila dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Amer, Kampung Raja, Besut pada 11.37 malam tadi manakala Muhammad Adib di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Badak, Hulu Besut dekat sini pada 12.15 tengah malam dan kedua-duanya dibawa dari Hospital Gerik.
Dalam kemalangan yang berlaku antara 12.30 hingga 1 pagi itu, 15 penuntut UPSI maut apabila bas yang disewa khas dari Jertih ke Tanjung Malim terbalik selepas terlibat dalam kemalangan dengan kenderaan jenis Perodua Alza di JRTB berhampiran Tasik Banding.
Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Alza.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial