AM

Kesederhanaan Aidiladha Di Kemboja Serlah Makna Mendalam Keimanan

09/06/2025 08:57 PM

Oleh Muhammad Amir Aiman Azlan

PHNOM PENH (KEMBOJA), 9 Jun (Bernama) -- Pada pagi Aidiladha, saya berada di Kampot dalam suasana yang asing dan sunyi.

Tiada gema azan dan takbir yang menandakan hari kebesaran. Di Malaysia, hari penting itu bermula dengan laungan mengagungkan Allah SWT yang kedengaran dari arah masjid serta surau, satu kelaziman yang mendamaikan namun jarang dihargai.

Dari tingkap bilik hotel, seluruh bandar kelihatan sunyi. Tidak kelihatan orang ramai berbaju Melayu berwarna-warni dan tiada wanita bertelekung menuju ke masjid. Terasa aneh, malah sepi dan buat pertama kalinya saya merindui sesuatu yang selama ini dianggap pasti ada.

Kesunyian itu menyedarkan saya akan satu hakikat. Di tanah air, kita sering bercakap seolah-olah Islam sentiasa terancam.

Namun di Kemboja, umat Islam mengamalkan ajaran agama dalam keadaan sumber yang terhad, tidak menonjol dan tanpa sebarang rungutan. Cukup berasa rendah diri dengan perbezaan ini. Sebenarnya, kita hidup dalam keadaan yang jauh lebih baik tetapi tidak selalu kita sedari.

Perjalanan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Kembara Qurban Kemboja 2025 anjuran Bank Rakyat, program selama tiga hari yang bertujuan menyantuni umat Islam kurang bernasib baik. Bagi saya, ia lebih daripada sekadar misi kebajikan - ia menjadi satu pengalaman yang membuka mata dengan begitu mendalam.

 

KETABAHAN MELALUI IMAN DAN KOMUNITI

 

Di Kampung Trapeng Pinh, pinggir bandar Kampot, kumpulan kami seramai 21 sukarelawan termasuk tujuh pengamal media menyaksikan ibadah korban melibatkan 10 ekor lembu dengan dagingnya diagihkan kepada penduduk setempat.

Kami tiba di kampung itu menaiki ‘tuk-tuk’ untuk menunaikan solat sunat Aidiladha dan disambut dengan senyuman mesra serta layanan yang amat mengharukan. Apa yang paling mengejutkan saya apabila melihat mereka mengambil wuduk di sebuah tasik berdekatan - satu pemandangan yang asing bagi saya.

Masjid mereka, Masjid Ar-Rahman, kecil dan serba sederhana menjadikan surau terkecil di tanah air kita sekalipun sudah terasa mewah. Namun, di sebalik kesederhanaan itu, keimanan dan ketakwaan memenuhi setiap ruang, membuktikan bahawa agama tidak memerlukan kemegahan.

Di sini, saya bertemu dengan seorang imam tempatan, Abdossomad Abdullah yang juga seorang ustaz dan pengasas bersama Maahad Al-Rabbani - sebuah madrasah yang telah lebih 10 tahun diusahakan pembinaannya. Misinya untuk memperkukuh ajaran Islam dalam kalangan generasi muda komuniti itu yang mempunyai kira-kira 5,000 penduduk.

“Maahad kami ini dibina dengan usaha dan sumbangan penduduk kampung ini sendiri yang majoritinya beragama Islam. Kini kami mempunyai lebih 80 pelajar berusia antara enam hingga 17 tahun yang datang daripada keluarga nelayan dan petani,” katanya.

Kisah beliau mengingatkan saya kepada bentuk sokongan yang diterima sekolah-sekolah agama di Malaysia - seperti Program Pemutihan Tahfiz Selangor, bertujuan memastikan pendidikan Islam yang tersusun. Sebaliknya, madrasah di Kemboja ini terus berdiri hasil ketabahan dan keyakinan yang utuh.

 

MAAHAD IMAM AS-SHAFIEE: SATU LAGI BUKTI KETABAHAN

 

Perjalanan kami diteruskan ke Kampung Keh, lokasi Maahad Imam As-Shafiee yang kini berdiri megah - jauh berbeza daripada pondok kayu yang pernah mencatat kisah permulaannya. Kini, kompleks tiga blok bangunan itu menjadi simbol kebanggaan komuniti serta hasil bantuan rakyat Malaysia menerusi Yayasan As-Syafiee. Ia menempatkan 280 pelajar Islam Kemboja yang bertekad mengubah nasib hidup melalui pendidikan.

Namun, kejayaan ini tidak datang bergolek. Ustaz Badri Ibrahim mengimbas kembali bagaimana mereka pernah bergantung kepada perigi bagi mengurangkan bil air bulanan yang boleh mencecah antara USD300 hingga USD400, yang digunakan secara meluas sebagai mata wang alternatif untuk Riel tempatan. Ini hanyalah 15 tahun lepas - satu peringatan jelas betapa baru dan nyata perjuangan berkenaan masih dirasai hingga kini.

“Kerajaan memang ada bantu, cuma di sini tiada institusi yang tersusun seperti di Malaysia yang boleh menyelia perkembangan kami,” katanya.

Pengerusi Yayasan As-Syafiee Malaysia Mohd Zamerey Abdul Razak berkongsi bagaimana lawatan beliau pada 2010 telah menjadi pencetus kepada usaha berkenaan.

“Sekembalinya ke tanah air, saya bincang dengan rakan-rakan macam mana kita nak tolong. Kita buat kempen korban, dapat 60 ekor lembu. Kita datang dan buat program itu (korban) kerana kita nak masuk ke kampung-kampung dan tengok sendiri realiti kehidupan mereka di sini. Kami berpandangan bahawa hanya pendidikan dapat mengubah nasib mereka,” katanya.

Sejak itu, beberapa pelajar daripada maahad ini telah diterima masuk ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), malah ada yang pernah menjalani latihan industri di Wisma Putra - bukti jelas bahawa pendidikan mampu mengubah masa depan.

Berbanding Malaysia, perbezaannya amat ketara memandangkan madrasah di Kemboja selalunya bermula dengan sumber yang amat terhad, bergantung sepenuhnya kepada sumbangan masyarakat dan keazaman yang kuat. Di tanah air, pendidikan Islam mendapat manfaat daripada sistem tersusun, pemantauan kerajaan, peruntukan kewangan, kemudahan infrastruktur, teknologi serta kurikulum yang berstruktur.

 

KEHIDUPAN DI TONLE SAP: PERJUANGAN KOMUNITI YANG BERGANTUNG KEPADA SUNGAI

 

Pada hari terakhir program, kami melawat Kampung Swai Relom di wilayah Kandal, dengan program Kembara Qurban Kemboja anjuran Bank Rakyat menyantuni 150 keluarga Muslim yang tinggal di dalam rumah bot untuk menyampaikan bantuan kepada sebuah komuniti yang kehidupan mereka bergantung kepada sungai.

Mereka tinggal di dalam bot sempit sepanjang 10 meter, mencari rezeki sebagai nelayan dan perlu mendapatkan izin daripada pemilik tanah serta pihak berkuasa tempatan hanya untuk berlabuh. Sebagai anggota komuniti Cham, kehidupan mereka masih dipengaruhi oleh sejarah, berakar pada kehidupan berpindah-randah dan terperangkap dalam kitaran yang sukar untuk dihindari.

Namun hari ini, hasil bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sumbangan individu, gaya hidup nomad ini mula berubah. Sebahagian mereka telah mula menetap di daratan dengan rumah kekal dan sebuah masjid turut didirikan.

Disebabkan rasa ingin tahu, saya bertanya kepada pemandu pelancong tempatan tentang pelaksanaan zakat dan beliau menjawab bahawa sistemnya tidak seperti di Malaysia yang diurus secara institusi.

Beliau berkata di sini, zakat diagihkan secara peribadi, selalunya dalam jumlah yang kecil.

Dengan umat Islam membentuk hanya dua peratus daripada populasi penduduk Kemboja, agak sukar untuk bantuan zakat sampai kepada semua keluarga yang hidup dalam kemiskinan.

Berbanding Malaysia dengan di Labuan sahaja, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan RM6.5 juta baru-baru ini dalam bentuk bantuan zakat kepada 6,500 orang asnaf berdaftar.

 

SUATU RENUNGAN YANG PERLU DILAKUKAN

 

Apa yang paling menyentuh hati saya ialah martabat umat Islam Kemboja yang teguh didasarkan kepada iman, kekeluargaan dan semangat kebersamaan yang kuat.

Di Malaysia, kita menikmati kemudahan masjid berhawa dingin, program ibadah haji yang disubsidi, kandungan Islamik sepanjang masa, serta pegawai agama sepenuh masa yang menguruskan setiap peringkat hal ehwal keagamaan.

Kita bebas beramal, mengadakan majlis tadarus al-Quran di stadium dan mengamalkan kepercayaan tanpa halangan. Keistimewaan ini luar biasa, namun sering kali kita lupa betapa semua ini belum tentu dapat dinikmati di negara lain.

Ini bukan bermaksud tidak perlu mempertahankan nilai-nilai kita, tetapi mungkin kita boleh melakukannya tanpa melihat orang lain sebagai ancaman atau bersangka buruk terhadap sesama warganegara.

Sebaliknya, marilah kita melangkah ke hadapan dengan kesyukuran, kemuliaan akhlak dan keteguhan iman yang saya saksikan sendiri di Kemboja.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan