KLANG, 7 Jun (Bernama) -- Mangsa yang terselamat dalam insiden bot terbalik di perairan Tanjung Harapan, di sini semalam berkata kejadian berlaku terlalu pantas dan dalam tempoh tidak sampai 10 saat air memasuki ruang dalam bot.
Alvin Chang Yan Qin, 17, berkata kejadian berkenaan berlaku ketika bot sedang dipandu uji itu melakukan pusingan U kira-kira 30 minit selepas berlepas dari Royal Selangor Yacht Club (RSYC).
“Bot bergerak agak laju sebelum tiba-tiba terbalik. Keadaan di dalam bot menjadi kelam-kabut.
“Saya berusaha menyelamatkan diri dengan berenang keluar dan berjaya duduk di atas bot yang terbalik," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Maritim Selangor di Tanjung Harapan hari ini.
Chang berkata dia hanya mampu menjerit meminta pertolongan selepas menyedari penumpang lain tidak kelihatan dan selepas kira-kira lima minit bertahan di atas bot terbabit, dia diselamatkan sebuah bot nelayan.
Nelayan terbabit katanya kemudian menghubungi pihak berkuasa bagi bantuan.
“Saya difahamkan uji pandu bot itu dilakukan buat kali kedua. Sebelum ini bot terbabit didapati elok secara keseluruhannya," katanya.
Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, tiga individu termasuk seorang kanak-kanak maut manakala sepasang suami isteri masih hilang.
Mangsa yang meninggal dunia ialah Darren Gan, 3; Cheu Son Hin, 50; dan Fong Yong Sen, 29, manakala yang hilang dikenal pasti sebagai Gan Hon Tat, 32, dan isterinya Careen Man, 29, kedua-duanya berasal dari Klang Utama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial