AM

HAWANA Rai Sumbangan Pengamal Media, Martabatkan Profesion Kewartawanan - KPE Bernama

03/06/2025 05:58 PM

KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 bukan sahaja platform untuk meraikan peranan dan sumbangan pengamal media dalam pembangunan negara, tetapi juga menjadi pentas untuk memartabatkan profesion kewartawanan yang berintegriti dan berwibawa.

Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata sambutan HAWANA turut memberi peluang kepada pengamal media untuk merapatkan silaturahim selain mengambil kesempatan untuk bertukar-tukar pendapat mengenai isu semasa.

“Tahun ini, walaupun para petugas media sibuk membuat liputan dan melaporkan pelbagai peristiwa penting negara seperti Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 baru-baru ini, kami tidak melupakan sambutan HAWANA yang diwartakan pada 29 Mei lepas dengan cara tersendiri," katanya ketika berucap pada Majlis Bersama Rakan Strategik HAWANA 2025 di Wisma Bernama, di sini hari ini. 

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil. 

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj merangkap Pengarah Projek HAWANA 2025 serta pengurusan tertinggi agensi berita itu.

Nur-ul Afida berkata Bernama telah diberikan tanggungjawab sebagai agensi pelaksana sambutan HAWANA oleh Kementerian Komunikasi sejak diperkenalkan pada 2018 di Kuala Lumpur. 

Beliau berkata bagi memastikan sambutan itu bersifat inklusif dan merentasi negeri, HAWANA telah dianjurkan di Melaka pada 2022, Perak (2023) dan Kuching, Sarawak pada tahun lepas. 

"HAWANA tahun ini kembali ke Kuala Lumpur sebagai meraikan kepengerusian ASEAN di Malaysia tahun ini," katanya. 

Pada majlis itu, Nur-ul Afida turut merakamkan penghargaan kepada 79 rakan strategik terdiri daripada kementerian, jabatan, agensi serta syarikat yang komited menjayakan acara kemuncak dan program sampingan HAWANA 2025. 

"Saya dengan rendah diri sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada kesemua rakan strategik yang terus memberikan sokongan sekali gus mengiktiraf sumbangan pengamal media dalam bidang kewartawanan Malaysia," katanya. 

Nur-ul Afida berkata HAWANA 2025 akan tampil lebih meriah dan bermanfaat dengan pengisian pelbagai acara dan aktiviti bermula pada Mei hingga September dimulakan dengan pertandingan sengit lapan kumpulan daripada agensi media negara pada Pesta Pantun HAWANA-DBP 2025 di Wisma Bernama, Sabtu lepas.

Selain itu, pengisian utama ialah forum media yang dianjurkan bersama Institut Akhbar Malaysia (MPI), karnival dan pameran di pusat beli-belah Sunway Putra Mall, karnival sukan pada skala besar dan siri jelajah HAWANA ke politeknik-politeknik premier.

Bertemakan "Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika", sambutan HAWANA 2025 akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) pada 13 hingga 15 Jun ini dengan kemuncak sambutan pada 14 Jun yang bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lebih 1,000 pengamal media, wakil-wakil persatuan wartawan tempatan dan wakil media dari negara anggota ASEAN dijemput sekali gus menghimpunkan kumpulan media profesional dan pakar industri sambil bertukar-tukar idea serta menjalinkan hubungan strategik.

Selain itu, Nur-ul Afida berkata MOTORHOME-BERNAMA Mobile Studio yang dilancarkan oleh Fahmi hari ini ialah sebuah kenderaan yang dilengkapi kemudahan studio bergerak dengan teknologi terkini.

Beliau berkata ia inisiatif Bernama, yang baru sahaja menyambut ulang tahun ke-58 bulan lepas, untuk kekal relevan dalam industri media. 

"Kami di Bernama komited untuk terus berusaha melaksanakan matlamat sebagai agensi berita rasmi negara dan terus unggul sebagai sumber berita diyakini," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan