AM

Penangguhan Sementara Bas Smart Selangor Bukan Disebabkan Lewat Proses Permohonan - APAD

26/05/2025 05:47 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Penangguhan sementara perkhidmatan Bas Smart Selangor di lima laluan dalam kawasan Majlis Bandaraya Subang Jaya baru-baru ini bukan disebabkan oleh kelewatan memproses permohonan pihak pengendali iaitu Syarikat SKS Coachbuilders Sdn Bhd (SKS Coachbuilders).

Kenyataan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) hari ini memaklumkan siasatan dan semakan mendapati syarikat itu lewat mengemukakan permohonan kerana ia hanya diterima pada 25 dan 26 April lepas.

Menurut agensi itu, SKS Coachbuilders mengemukakan lima permohonan dan kesemuanya diproses mengikut prosedur operasi standard, kriteria dan syarat kelulusan ditetapkan serta dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan (eJKP) pada 8 Mei lepas.  

“APAD ingin menegaskan permohonan itu siap diproses dalam tempoh singkat iaitu kurang daripada 14 hari bekerja sebagaimana diperuntukkan dalam Piagam Pelanggan APAD bagi permohonan baharu permit.

“Namun terdapat beberapa kriteria dan syarat belum dipenuhi pemohon antaranya ketidakpatuhan bagi pemasangan sistem kedudukan sejagat (GPS) dan Surat Tawaran Kelulusan (STK) yang belum dilesenkan. 

“Justeru, permohonan itu telah diluluskan secara bersyarat pada 8 Mei dan pemohon diberikan peluang untuk melengkapkan keperluan ditetapkan sebelum kelulusan penuh dapat diberikan,” menurut kenyataan itu.

Menurut APAD, pemohon mengemukakan maklum balas dengan melengkapkan semua kriteria serta syarat diperlukan pada 15 Mei serta diluluskan Mesyuarat eJKP ialah pada 22 Mei dan SKS Coachbuilders boleh mencetak STK melalui Sistem iSPKP APAD bermula 23 Mei.

Sebarang ketidakpatuhan terhadap kriteria dan syarat yang ditetapkan boleh menyebabkan permohonan permit atau lesen ditolak. 

APAD turut memaklumkan bahawa mereka sentiasa komited untuk menambah baik mutu penyampaian perkhidmatan pelesenan secara adil dan telus selaras dengan nilai teras Malaysia MADANI demi manfaat rakyat serta pembangunan sistem pengangkutan awam lebih cekap, efisien, selamat dan berdaya saing.

“Semua pihak menjalankan perkhidmatan pengangkutan awam serta barangan diingatkan mematuhi kriteria dan syarat ditetapkan bagi mengelakkan kerugian kepada pengendali atau kesan negatif kepada mereka menggunakan pengangkutan awam sebagai mod pergerakan harian,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, aktiviti harian pengguna di sekitar Subang Jaya, Selangor terjejas akibat ketiadaan perkhidmatan bas di laluan SJ01, SJ02, SJ03, SJ04 dan SJ05 sehingga memaksa mereka menggunakan alternatif lain sekali gus meningkatkan kos perjalanan.

Terdapat dakwaan bahawa situasi itu berpunca daripada kelewatan APAD memproses permohonan dikemukakan pengendali terlibat dan dikatakan mengambil masa hampir dua bulan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan