AM

Sarawak Kaji Penjanaan Elektrik Di Loji Rawatan Air Bayong

14/05/2025 06:58 PM

SARIKEI, 14 Mei (Bernama) -- Kerajaan Sarawak sedang mengkaji penjanaan elektrik untuk komuniti setempat dengan menggunakan Loji Rawatan Air Bayong yang baru dinaik taraf.

Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata projek itu akan memanfaatkan sumber air semula jadi dari kawasan tadahan Bayong yang berpotensi membekalkan tenaga elektrik ke rumah-rumah dengan tenaga boleh diperbaharui yang dijana menerusi turbin air mini.

"Ada kemungkinan kita boleh melakukan eksperimen dalam menghasilkan tenaga elektrik dengan menggunakan turbin mini yang diputar oleh air di loji ini dan menjana tenaga elektrik untuk penduduk di kawasan itu," katanya ketika melawat loji itu pada Selasa.

Abang Johari menekankan bahawa inisiatif itu sejajar dengan matlamat Sarawak untuk menyampaikan 100 peratus akses air bersih dan elektrik di seluruh negeri menjelang 2030, bukan sahaja untuk kegunaan industri tetapi juga domestik.

Beliau berkata kekayaan aset semula jadi Sarawak, khususnya air, menawarkan pelbagai faedah ekonomi, daripada air terawat dan hidroelektrik kepada tenaga hidrogen hijau, meletakkan negeri itu sebagai hab tenaga hijau masa hadapan.

Menerusi naik taraf bernilai RM68.4 juta baru-baru ini, kapasiti Loji Rawatan Air Bayong meningkat dari 70 juta liter sehari (JLH) kepada 100 JLH sekali gus secara ketara mempertingkatkan bekalan air untuk Bahagian Sarikei termasuk Tanjung Manis, Belawai dan kawasan berhampiran. 

Beliau berkata kapasiti loji itu mampu dinaikkan kepada 150 JLH jika permintaan meningkat.

“Pelaburan itu bukan sahaja menjamin bekalan air di rantau ini tetapi membuka peluang untuk penyelesaian tenaga mampan yang boleh meningkatkan ekonomi Sarawak dan menarik pelaburan masa depan,” katanya.

Inisiatif itu katanya merupakan langkah strategik ke arah cita-cita Sarawak untuk menjadi peneraju serantau dalam tenaga bersih dan boleh diperbaharui.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan