AM

MPI Terima Tajaan Lebih RM1 Juta Anjur MWM 2025, HKM 2024

13/05/2025 09:11 PM

PETALING JAYA, 13 Mei (Bernama) -- Malaysian Press Institute (MPI) menerima sumbangan penajaan RM1.24 juta bagi penganjuran Majlis Wartawan Malaysia 2025 (MWM 2025) dan Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI Petronas 2024 (HKM 2024) yang akan berlangsung pada 20 Jun ini. 

Presiden MPI Datuk Yong Soo Heong berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM450,000 disumbangkan oleh Petronas untuk disampaikan kepada pemenang HKM 2024.

Beliau berkata sebanyak RM799,500 disumbangkan oleh 51 organisasi merangkumi entiti korporat, kementerian, agensi kerajaan dan organisasi media bagi penganjuran MWM 2025 dengan kolaborasi bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Sebanyak 51 organisasi telah tampil menunjukkan sokongan terhadap penganjuran anugerah yang bermakna ini. Atas kemurahan hati penyumbang semua, kami dapat terus mengiktiraf dan menghargai hasil kerja terbaik dalam dunia media Malaysia. 

“Sokongan ini merupakan suatu manifestasi keyakinan terhadap kewartawanan sebagai tonggak kepada masyarakat yang berinformasi,” katanya pada Majlis Meraikan Penyumbang Malam Wartawan Malaysia 2025 di sini hari ini. 

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MPI Ainol Amriz Ismail dan Timbalan Presiden MPI Farrah Naz Abd Karim. 

Yong yang juga bekas Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berkata komitmen Petronas sebagai penaja utama HKM sejak 1994 membuktikan sokongan berterusan syarikat itu dalam mengiktiraf karya-karya kewartawanan bermutu tinggi di negara ini. 

Beliau berkata HKM 2024 mencatatkan penyertaan tertinggi pernah diterima oleh MPI, iaitu sebanyak 548 meningkat sebanyak 60 penyertaan berbanding tahun sebelumnya.

“Sebanyak 58 organisasi media dari seluruh negara termasuk dari Sabah dan Sarawak menyertai HKM 2024, ia membuktikan peningkatan kesungguhan serta minat terhadap penghasilan karya kewartawanan berkualiti tinggi dan berimpak besar,” katanya. 

Beliau berkata penyertaan tertinggi diterima daripada kategori Kewartawanan Foto Terbaik dengan 79 penyertaan, diikuti Berita Video Terbaik sebanyak 65 penyertaan dan Bicarawara Video Terbaik melibatkan 46 penyertaan daripada 21 kategori yang dipertandingkan. 

Turut diadakan pada majlis hari ini ialah sesi dialog awam bertajuk "Ruang dan Peluang Liputan Media" yang bertujuan membuka ruang kepada rakan korporat, agensi kerajaan dan penaja untuk mendapatkan gambaran senario media semasa sekali gus mendapatkan gambaran peluang bagi liputan dalam agensi media berkaitan.

HKM 2024 akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pada 20 Jun ini di Hotel Majestic, Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan