LABUAN, 13 Mei (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa diberikan Anugerah Kepimpinan 3G bagi Sektor Kerajaan (Individu) 2025 pada majlis Anugerah Tadbir Urus Baik Global (Anugerah 3G) ke-10 di Brunei Darussalam.
Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dalam kenyataan memaklumkan anugerah berprestij itu yang dinilai oleh Cambridge IFA, mengiktiraf kepimpinan Dr Zaliha dalam memperkukuh amalan tadbir urus yang beretika, inklusif dan berpaksikan rakyat di Wilayah-Wilayah Persekutuan.
Sebanyak 19 penerima dari 15 negara diberi penghormatan pada acara berkenaan, yang menghimpunkan tokoh terkemuka daripada sektor kerajaan dan korporat, termasuk wakil daripada Petronas Dagangan Berhad dan Kastam Dubai.
Anugerah itu disampaikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Brunei Darussalam Datuk Seri Paduka Awang Mohd Riza Datuk Paduka Mohd Yunos, disaksikan oleh Pengerusi Cambridge IFA Prof Dr Humayon Dar.
Pengiktirafan antarabangsa ini mencerminkan komitmen Malaysia, khususnya di Wilayah Persekutuan, untuk memajukan reformasi tadbir urus sektor awam dan menyokong pembangunan bandar mampan sejajar dengan nilai Malaysia MADANI.
Majlis penyampaian anugerah itu adalah sebahagian daripada Sidang Kemuncak Tadbir Urus Baik Global 2025 yang dianjurkan oleh Cambridge IFA dengan kerjasama Sultan Sharif Ali Islamic University (UNISSA) dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dengan tema "Tadbir Urus Transformatif untuk Kesihatan, Alam Sektar dan Kemampanan Komuniti".
Anugerah 3G dinilai berdasarkan kriteria termasuk impak, ketelusan, inovasi dan tanggungjawab sosial, mengiktiraf individu dan organisasi yang memperjuangkan tadbir urus yang progresif dan beretika.
Pengiktirafan itu turut berperanan sebagai pemangkin kepada usaha berterusan dalam memperkasakan tabdir urus berteraskan nilai, selaras dengan aspirasi Wilayah Persekutuan untuk menjadi peneraju dalam tadbir urus yang progresif dan berfokuskan rakyat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial