AM

Pembinaan 7,243 MyKiosk Dalam Tempoh Dua Tahun Ubah Nasib Lebih 7,000 Keluarga - Nga

05/12/2024 11:26 PM

SUBANG JAYA, 5 Dis (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) telah meluluskan pembinaan 7,243 MyKiosk di 133 pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara dalam tempoh dua tahun. 

Menterinya Nga Kor Ming berkata inisiatif MyKiosk itu telah membantu 7,243 keluarga meningkatkan pendapatan serta memperkasakan taraf sosioekonomi penduduk setempat. 

“Rekod tertinggi MyKiosk apabila ada perniaga mendapat RM30,000 sebulan dan banyak lagi cerita memberangsangkan. Ini terbukti dalam tempoh dua tahun sahaja kita berjaya mengubah nasib lebih 7,000 keluarga dan memberi manfaat kepada 35,000 anak Malaysia,” katanya pada sidang media selepas merasmikan MyKiosk 2.0 di Tapak Niaga Roundabout @ PutraHeights di sini hari ini.

Beliau berkata pada tahun ini kerajaan telah menyediakan peruntukan tambahan RM100 juta bagi pembinaan 4,054 unit kiosk untuk 93 PBT manakala pada tahun lepas sebanyak RM50 juta untuk 3,189 unit kiosk.

Dalam pada itu, Nga berkata Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menerima 12 unit MyKiosk yang diserahkan kepada peniaga terpilih daripada 35 peniaga sedia ada di Tapak Niaga Roundabout@Putra Heights. 

“Ia merupakan salah satu projek placemaking MBSJ yang telah dirasmikan pada 2 Feb lepas bertujuan mengubah kawasan hijau yang terbiar menjadikan hab perniagaan setempat yang kondusif dan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat,” katanya. 

Nga berkata setiap unit MyKiosk 2.0 akan dilengkapi dengan tenaga solar berkapasiti 1,000 watt dan peralatan elektrik seperti kipas dan lampu diod pemancar cahaya (LED) untuk memberikan kemudahan serta keselesaan kepada peniaga.

“Kita memberi insentif enam bulan percuma tanpa sewa dan selepas tempoh tersebut peniaga hanya kena bayar RM10 sehari tetapi MBSJ dengan Datuk Bandar (Datuk Amirul Azizan Abd Rahim) bermurah hati mengenakan bayaran RM2 di kawasan ini,” katanya. 

Beliau berkata JKT juga sedang mengkaji inisiatif MyKiosk tersebut sebelum pihaknya mengemukakan untuk melaksanakan MyKiosk 3.0 yang lebih hebat dan menarik kepada Kementerian Kewangan pada tahun hadapan. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan