Oleh Siti Noor Afera Abu & Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah pada Isnin, berbanding prestasi tinggi pada akhir dagangan minggu lepas, apabila pasaran serantau mengalami penurunan berikutan pelabur kembali berhati-hati menjelang tarikh akhir tarif Amerika Syarikat (AS) pada 9 Julai, kata penganalisis.
Pasaran tempatan menjejaki penurunan di seluruh Asia apabila pelabur menunggu keputusan muktamad daripada Presiden AS Donald Trump berkaitan perkara perdagangan yang tertangguh.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 12.65 mata atau 0.82 peratus kepada 1,537.54 daripada 1,550.19 ketika ditutup pada Jumaat lepas.
Indeks penanda aras itu dibuka 5.45 mata lebih rendah kepada 1,544.74 dan mencecah paras terendah harian pada 1,534.67 pada awal dagangan.
Pasaran secara keseluruhan adalah rendah, dengan 754 kaunter rugi mengatasi 260 kaunter untung, manakala 466 kaunter tidak berubah, 944 kaunter tidak didagangkan dan 19 yang lain digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.57 bilion saham bernilai RM2.49 bilion daripada 3.43 bilion saham bernilai RM2.47 bilion pada Jumaat lepas.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata ketegangan perdagangan muncul kembali selepas Trump mengulangi hasratnya untuk mengenakan tarif secara unilateral ke atas pelbagai negara.
“Kenyataan Trump itu menimbulkan semula ketidaktentuan dalam pasaran global, melemahkan sentimen dan mencetuskan penghindaran risiko dalam kalangan pelabur,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata semua indeks sektor di Bursa Malaysia ditutup rendah.
“Bagaimanapun, jumlah dagangan keseluruhan kekal tinggi, melebihi paras tiga bilion saham -- menandakan penyertaan runcit dan institusi yang berterusan walaupun wujudkan ketidaktentuan semasa,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng menyifatkan aktiviti pengambilan untung pada hari ini sebagai tindakan pembetulan yang baik, membolehkan pasaran mengukuhkan kenaikan baru-baru ini untuk meningkat selepas ini dan membentuk asas yang lebih teguh bagi aliran meningkat yang mampan.
“Kami yakin selagi indeks penanda aras kekal di atas paras 1,530, momentum kenaikan kukuh berterusan jangka masa sederhana masih utuh. Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI bergerak antara 1,530 hingga 1,560 minggu ini, dan masing-masing menjadi paras sokongan dan rintangan,” katanya.
Dalam kalangan kaunter berwajaran tinggi, Maybank dan CIMB masing-masing turun dua sen kepada RM9.72 dan RM6.75, Public Bank susut lima sen kepada RM4.33, Tenaga Nasional merosot 26 sen kepada RM13.80, manakala IHH Healthcare menguncup tiga sen kepada RM6.72.
Bagi saham aktif, NexG naik dua sen kepada 42 sen, NationGate susut 15 sen kepada RM1.63, Zetrix AI turun 4.5 sen kepada 95 sen, manakala Tanco menambah setengah sen kepada 89.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 99.06 mata kepada 11,518.66, Indeks FBMT 100 kurang 97.47 mata kepada 11,293.23, dan Indeks FBM Emas Syariah susut 117.09 mata kepada 11,500.73.
Indeks FBM 70 s merosot 163.59 mata kepada 16,623.45, manakala Indeks FBM ACE turun 52.78 mata kepada 4,473.62.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 69.26 mata kepada 17,721.96, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.67 mata kepada 155.41, Indeks Perladangan berkurangan 3.73 mata kepada 7,445.01, manakala Indeks Tenaga susut 4.02 mata kepada 737.59.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama turun kepada 1.47 bilion unit bernilai RM2.16 bilion daripada 1.96 bilion unit bernilai RM2.25 bilion pada Jumaat.
Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.83 bilion unit bernilai RM228.26 juta daripada 1.20 bilion unit bernilai RM126.56 juta sebelum ini.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 267.85 juta unit bernilai RM112.77 juta daripada 274.38 juta unit bernilai RM90.83 juta pada Jumaat lepas.
Bagi kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 153.71 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (250.64 juta), pembinaan (132.18 juta), teknologi (259.83 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (58 juta), hartanah (205.11 juta), perladangan (14.87 juta), REIT (15.46 juta), dana tertutup (4,000), tenaga (73.42 juta), penjagaan kesihatan (171.72 juta), telekomunikasi dan media (26.74 juta), pengangkutan dan logistik (23.95 juta), utiliti (88.33 juta), dan amanah perniagaan (156,700).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial