MEMBAKUT, 2 Ogos (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) berhasrat bertanding sekurang-kurangnya satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada setiap kawasan Parlimen di Sabah pada Pilihan Raya Negeri ke-17, kata Timbalan Pengerusinya Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata ia bagi memastikan BN mempunyai wakil bertanding di semua 25 kawasan Parlimen di Sabah yang mempunyai 73 DUN pada pilihan raya itu.
Bagaimanapun, Mohamad yang juga Menteri Luar dan Ahli Parlimen Rembau berkata hasrat berkenaan belum dimuktamadkan dan akan dibincangkan secara lanjut dengan parti komponen BN, iaitu UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
“Kita tidak mahu perkara sebelum ini berlaku… pada pilihan raya lepas ada kawasan parlimen langsung tidak diwakili oleh BN, ini menyebabkan penyokong parti di bawah BN tidak mampu berbuat apa-apa pada pilihan raya itu.
“Ini akan menyebabkan penyokong berkenaan bosan dan kecewa seterusnya mengambil langkah untuk meninggalkan parti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kimanis di Dewan Terbuka Membakut di sini hari ini.
Penggal lima tahun Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah terbubar automatik pada 11 November ini sekiranya tidak terbubar sebelum tarikh itu. Pembubaran DUN Sabah ke-16 bakal membuka laluan kepada PRN Sabah ke-17.
Sementara itu, Mohamad meminta orang ramai khususnya ahli UMNO supaya tidak terpengaruh dengan fitnah dan dakwaan jahat mengatakan parti berkenaan bergabung dengan DAP.
“BN khususnya UMNO tidak pernah bergabung dengan mana-mana parti selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15, sebaliknya BN hanya menubuhkan kerajaan sedia ada bersama Pakatan Harapan (PH) berdasarkan perjanjian dengan gabungan parti berkenaan.
“UMNO dan BN menubuhkan kerajaan adalah kerana kita hendak mengurus negara kerana selepas PRU 15 tidak ada parti yang boleh menubuhkan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata BN sebagai parti yang telah lama menjadi kerajaan menyambut seruan supaya negara diutamakan dan parti itu bersetuju menubuhkan Kerajaan Perpaduan selepas PRU itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial