DUNIA

Pencalonan Dibuka Untuk Anugerah Keharmonian Dalam Kepelbagaian Sebagai Penghormatan Kepada Penggerak Keamanan Serantau

01/08/2025 10:16 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 1 Ogos (Bernama) -- Pencalonan bagi Anugerah Keharmonian dalam Kepelbagaian, inisiatif baharu yang mengiktiraf individu atas usaha cemerlang mereka dalam memupuk perpaduan sosial dan keharmonian antara pelbagai budaya di Asia Tenggara, kini dibuka  sehingga 31 Dis.

Bekas Presiden Singapura merangkap Penaung anugerah itu, Halimah Yacob berkata anugerah berkenaan yang dianjurkan oleh Yayasan Temasek dengan kerjasama Gerakan Global 5P, merupakan pengiktirafan kepada mereka yang berusaha merapatkan jurang perbezaan di rantau ini serta memberi inspirasi kepada lebih banyak inisiatif seumpamanya.

“Keharmonian sosial bukan sesuatu yang berlaku secara kebetulan. Ia dibina, dipupuk dan dilindungi. Ia tidak boleh diambil mudah. Dalam waktu yang tidak menentu, kita tidak harus gentar. Sebaliknya, kita perlu terus membina jambatan merentas jurang dan berjalan seiring antara satu sama lain,” katanya semasa melancarkan anugerah itu di sini, pada Jumaat.

Halimah berkata anugerah itu merupakan sebahagian daripada usaha lebih luas untuk membina perpaduan sosial. Beliau menyeru semua pihak berkepentingan supaya memainkan peranan dalam memperkukuh kepercayaan dan persefahaman bersama dalam masyarakat demi mengekalkan keamanan dan keharmonian.

Dalam kenyataan bersama, Yayasan Temasek dan Gerakan Global 5P berkata anugerah itu terbuka kepada warganegara Asia Tenggara yang melaksanakan inisiatif berinovasi dan berimpak tinggi dalam memajukan keharmonian sosial di komuniti masing-masing.

Pencalonan perlu dikemukakan oleh organisasi seperti pertubuhan bukan kerajaan, institusi akademik, perniagaan atau kerajaan.

“Calon yang layak mestilah menunjukkan komitmen terhadap pemupukan perpaduan sosial melalui inisiatif yang relevan, inovatif dan membawa kesan besar,” menurut kenyataan itu.

Calon individu akan dinilai berdasarkan kerangka R.A.I.S.E. yang mengambil kira kaitan cabaran dalam memupuk keharmonian; jajaran dengan nilai keamanan, kemakmuran, penduduk, planet dan perkongsian; inovasi dalam pendekatan atau konsep;  kepentingan impak terhadap komuniti serta keupayaan untuk mempertingkatkan kehidupan dan membina rasa kekitaan.

Pencalonan akan dinilai oleh panel tokoh serantau yang terdiri daripada Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif Berjaya Corporation Bhd Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim, bekas Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi, Datuk Bandar Quezon City Filipina Joy Belmonte, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Frasers Property Ltd Panote Sirivadhanabhakdi dan CEO Yayasan Temasek.

Penerima anugerah akan menerima wang tunai US$20,000, trofi dan platform untuk mempersembahkan hasil kerja mereka di acara serantau yang turut dihadiri penggerak keamanan, pemimpin pemikir serta wakil pelbagai sektor.

Untuk maklumat lanjut dan cara mengemukakan pencalonan, sila e-mel kepada secretariat@5pglobal.org.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan