AM

Sektor Ekonomi Jingga Berpotensi Bantu Pertumbuhan Ekonomi Negara - Fahmi

01/08/2025 05:03 PM

PUTRAJAYA, 1 Ogos (Bernama) -- Sektor ekonomi jingga merupakan sektor yang sedang membangun dan berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata sektor berkenaan yang merangkumi industri kreatif seperti filem, muzik dan animasi dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), hasil cadangan serta sesi libat urus antara Kementerian Komunikasi dan Kementerian Ekonomi.

“Kementerian Ekonomi telah menerima dan menyambut baik cadangan tersebut (ekonomi jingga) dan telah dimasukkan dalam dokumen akhir (RMK13).

“Ini satu bentuk intervensi dan proses libat urus itu telah meyakinkan Kementerian Ekonomi bahawa sektor ekonomi jingga, sektor yang membangun dan berpotensi untuk membantu dalam pertumbuhan ekonomi negara kita,” katanya pada sidang media Pasca-Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Fahmi berkata Jemaah Menteri hari ini turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Ekonomi kerana telah melibatkan setiap menteri dan kementerian dalam sesi libat urus untuk penyediaan dokumen RMK13.

Sementara itu, Fahmi berkata RMK13 merupakan dokumen perancangan jangka sederhana lima tahun dan perincian manfaat khusus sektor ekonomi jingga bakal diketahui pada pembentangan Belanjawan MADANI 2026 pada Oktober ini.

“Kita akan lihat perincian apa (dan) manfaat khusus kepada sektor ekonomi jingga industri kreatif sewaktu pembentangan Belanjawan MADANI 2026,” katanya.

Selain itu, Fahmi menyambut baik komitmen Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan MyCreative Ventures yang akan membantu untuk memastikan industri perfileman, muzik dan animasi mendapat manfaat sepenuhnya di bawah RMK13.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat berkata kerajaan komited memacu pertumbuhan ekonomi jingga melalui industri kreatif digital yang berpotensi tinggi. 

Anwar berkata Dana Padanan dan Dana Produksi Bersama akan dilaksanakan bagi menggalakkan pelaburan bersama antara kerajaan dan sektor swasta dalam penghasilan kandungan bertaraf global.

“Industri kreatif digital negara telah menjana pendapatan berjumlah RM6.3 bilion, dengan nilai eksport mencecah RM850 juta,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan