AM

LTAT Terbit Video Khas "Atuk, Apa Tu?" Sempena Hari Pahlawan 2025

01/08/2025 02:50 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menerbitkan satu video pendek istimewa bertajuk “Atuk, Apa Tu?” sempena sambutan Hari Pahlawan 2025, sebagai penghargaan terhadap pengorbanan wira negara dalam mempertahankan kedaulatan dan keamanan tanah air. 

Ketua Eksekutif LTAT Mohammad Ashraf Md Radzi berkata video berkenaan mengetengahkan kisah benar perjuangan seorang veteran Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kolonel Zulkifli Tahir (Bersara) yang kehilangan kaki kanan selepas terpijak periuk api ketika mengetuai platun peninjau Batalion Ke-9 RAMD dalam operasi menentang pengganas komunis di Gubir, Kedah pada 1986.

Beliau berkata filem pendek itu bukan sekadar catatan sejarah, tetapi juga simbol rasa syukur dan penghargaan mendalam terhadap jasa dan keberanian anggota tentera negara.

“Hari Pahlawan ini kami tidak hanya mahu mengingati, tetapi mahu seluruh rakyat Malaysia merasai. Menerusi filem pendek ini, kami merakamkan penghargaan kepada mereka yang sanggup melangkah ke medan bahaya supaya kita yang lain dapat melangkah ke masa hadapan dengan aman,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mohammad Ashraf berkata LTAT bukan hanya bertanggungjawab dalam merancang persaraan mampan bagi warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), malah komited dalam memastikan legasi, maruah dan jasa mereka terus dihargai.

“Kisah Kolonel Zulkifli mengingatkan kita bahawa di sebalik setiap uniform, ada insan, ada keluarga dan ada masa depan yang berubah selamanya,” katanya.

Video berdurasi tiga minit 31 saat itu dihasilkan dengan kerjasama ATM dan Unit Komunikasi Strategik (UKS), Kementerian Pertahanan melalui Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) di Kem Sungai Besi, Selangor yang kini boleh ditonton menerusi semua platform media sosial rasmi LTAT.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan