IPOH, 31 Julai (Bernama) -- Polis menahan dua lelaki selepas menemukan sepucuk revolver .38 Smith & Wesson bersama peluru hidup di sebuah rumah dua tingkat di Kampung Belakang Pasar, Bidor semalam.
Ketua Polis Daerah Tapah Supt Johari Yahya berkata polis bertindak ke rumah itu selepas menerima laporan orang awam yang terdengar bunyi letupan kira-kira 9.20 malam di lokasi itu.
"Pemeriksaan di rumah terbabit menjumpai sepucuk revolver .38 Smith & Wesson, empat peluru hidup serta satu kelongsong berada di dalam chamber di bawah tilam.
“Selain itu, terdapat kesan serpihan selak peluru di ruang tamu bahagian atas dan bawah rumah dipercayai akibat daripada tembakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata adik-beradik berusia 45 dan 46 tahun itu didapati memiliki enam rekod jenayah serta empat rekod berkaitan narkotik.
Seorang daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine dan kedua-duanya kini direman hingga 6 Ogos ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 39 akta sama.
“Polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nurfarah Idayu Mazlan melalui talian 05-4011222 untuk membantu siasatan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial