AM

HPPNK 2025 Pamer Evolusi Pertanian, Kikis Persepsi Pertanian Aktiviti Tradisional

31/07/2025 10:05 AM

PUTRAJAYA, 31 Julai (Bernama) -- Evolusi sektor pertanian negara sepanjang lima dekad kini dipamerkan secara komprehensif sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 yang berlangsung selama tiga hari bemula esok hingga 3 Ogos ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) bermula 9 pagi hingga 10 malam.

Bercakap kepada pemberita dalam temu bual khas HPPNK 2025 baru-baru ini, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Isham Ishak berkata sektor pertanian tidak lagi dilihat sebagai aktiviti tradisional, kotor dan berisiko tinggi, sebaliknya kini dipacu oleh teknologi moden seperti dron, robotik, Internet benda (IoT) dan sistem pertanian pintar.

“Kita nak tunjukkan evolusi pertanian negara kita daripada konservatif (sebelum merdeka) sehingga apa yang kita ada kini. Orang ramai boleh melihat pertanian ini bukanlah satu sektor yang remeh, satu sektor yang tidak memberikan pendapatan kepada petani tetapi satu evolusi petani yang telah kita lalui daripada pengguna konservatif, tradisional kepada yang moden,” katanya.

Bertemakan ‘Kudrat Kami Menjamin Pertiwi’, Isham berkata HPPNK edisi ke-50 akan memaparkan transformasi menyeluruh sektor pertanian daripada konservatif kepada moden bagi memperlihatkan bahawa pertanian mampu menjana pendapatan tinggi dan bukan sekadar pekerjaan terakhir.

“Ketika ini ramai peladang, penternak, nelayan kita dah tua dan penerapan teknologi terkini dalam kalangan mereka agak perlahan, justeru kita mahu menggalakkan orang muda untuk sama-sama terlibat dalam pertanian,” katanya.

Bagi menarik penyertaan golongan muda dalam sektor pertanian serta menepis persepsi bahawa sektor pertanian tidak menarik dan kurang berdaya saing, Isham berkata antara tarikan utama adalah aktiviti e-sukan, dapur tani yang membawakan keunikan masakan terutama dari Sabah, dengan menggunakan hasil pertanian sedia ada serta pameran agrobelia.

“Teknologi terkini termasuk teknologi Internet benda (IoT) akan menjadi daya penarik generasi muda untuk menyertai sektor ini, IoT boleh kawal sistem ladang dengan mengguna telefon bimbit sahaja,” katanya.

Beliau berkata empat komponen utama, iaitu Agro Millenia, Cukup dan Terjamin, Sejahtera MADANI serta Jualan Agro MADANI dan Keusahawanan menjadi pertaruhan HPPNK 2025 untuk menarik kehadiran lebih 500,000 pengunjung termasuk golongan muda.

Petani atau usahawan tani bakal didedahkan dengan teknologi mengetin produk pertanian, pembuatan jem serta makanan sedia dimakan. 

“Sebenarnya (kualiti) makanan kita agak baik dan popular kerana kita banyak menghasilkan produk yang halal dan produk halal ini semakin lama permintaannya sangat tinggi, cuma kita kena cari cara bagaimana kita dapat fokuskan lagi supaya kita dapat hasilkan pelbagai produk berasaskan industri makanan asas tani,” katanya. 

Mengulas lanjut, Isham berkata HPPNK 2025 turut menampilkan pameran mengenai penggunaan teknologi robotik dan dron dalam sektor pertanian yang dilihat mampu mengurangkan kebergantungan petani kepada pekerja asing.

“Inovasi seperti penggunaan sistem GPS (sistem kedudukan global) dan teknologi e-floc (kaedah rawatan air kolam menggunakan arus elektrik untuk mengumpulkan dan menyingkirkan zarah terampai)dipamerkan untuk membantu nelayan meningkatkan hasil tangkapan dan mengurangkan kos operasi,” katanya.

Beliau berkata pengunjung boleh melihat dan mengalami sendiri teknologi berkenaan melalui simulasi yang dibawa rakan strategik KPKM dan syarikat pempamer termasuk simulasi mesin jentuai yang menggunakan GPS.

Isham berkata HPPNK 2025 turut memberi tumpuan kepada konsep ekonomi kitaran dan kelestarian sumber makanan negara.

Konsep ekonomi kitaran yang ditampilkan membolehkan sisa pertanian dimanfaatkan menjadi baja, makanan ternakan atau sumber pendapatan baharu seperti pengeluaran sarang burung walit dan kompos.

Selain itu, bakal menarik perhatian ialah ASEAN Farmers Village, inisiatif serantau menggabungkan penyertaan negara-negara ASEAN. 

“Pada masa ini kita ada dua negara ASEAN yang telah bersetuju untuk bersama-sama dengan kita, iaitu Indonesia dan Thailand, dan mereka juga akan mempamerkan teknologi dan hasil pertanian yang dikeluarkan oleh kedua-dua negara,” katanya sambil menambah penyertaan itu dapat memperkukuh kerjasama agro serantau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan