AM

Jasa, Pengorbanan Pahlawan Negara Terus Dikenang - PM Anwar

30/07/2025 11:34 PM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Jasa dan pengorbanan pahlawan serta perwira negara akan terus dikenang dalam lipatan sejarah Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menyifatkan pengorbanan mereka ialah momen penting dalam memastikan keamanan, keselamatan dan keharmonian negara terus kukuh serta dipertahankan.

“Semoga Allah menempatkan para pahlawan dan perajurit yang telah berkorban darah dan nyawa, demi keamanan tanah air, dalam kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Terdahulu, Anwar dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengiringi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah ke majlis bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat di Masjid Negara bersama-sama anggota pasukan keselamatan dan orang ramai bersempena dengan sambutan Hari Pahlawan tahun ini.

Esok, sambutan Hari Pahlawan 2025 akan diadakan di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya.

Sambutan Hari Pahlawan disambut pada 31 Julai setiap tahun sebagai memperingati perjuangan serta pengorbanan anggota keselamatan negara demi kemakmuran serta kedaulatan negara dan dianjurkan secara bergilir-gilir antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 1968. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan