IPOH, 30 Julai (Bernama) -- Sebuah lori disaman RM300 selepas didapati menghalang laluan jentera milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), yang sedang menggunakan siren kecemasan ketika dalam perjalanan ke satu lokasi di Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, di sini.
Ketua Polis Daerah Kampar Supt Mohamad Nazri Daud berkata pihaknya mengeluarkan saman ke atas lori jenis kabin tersebut, selepas video itu tular di media sosial.
“Dalam rakaman itu, jentera bomba dilihat berusaha untuk memotong lori tersebut tetapi kenderaan itu seolah-olah tidak memberi laluan, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat terhadap keselamatan dan keutamaan kenderaan penyelamat ketika menjalankan tugas kecemasan.
“Susulan daripada penularan video tersebut, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar telah mengambil tindakan segera terhadap pemandu lori berkenaan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati bahawa pemandu lori berkenaan tidak menyedari kehadiran jentera bomba tersebut disebabkan oleh bunyi enjin lori yang kuat dan keadaan tingkap tertutup sepenuhnya telah menyukarkan dia mendengar siren jentera tersebut.
Mohamad Nazri berkata sehubungan itu, pihak polis telah mengeluarkan saman kepada pemandu lori tersebut di bawah Seksyen 9(2), Peraturan-Peraturan Lalu Lintas Jalan 1959 (ln166/59) kerana gagal memberikan laluan kepada kenderaan bomba yang sedang menjalankan tugas kecemasan.
“PDRM ingin menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab semua pengguna jalan raya untuk memberi laluan kepada kenderaan kecemasan seperti ambulans, polis dan bomba, apabila siren atau lampu amaran digunakan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial