AM

Fahmi Tegur Sikap Dwistandard Pengkritik Dasar Perkongsian Data Mudah Alih

30/07/2025 06:59 PM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil hari ini mempersoalkan sikap dwistandard oleh pihak yang mengkritik dasar perkongsian data mudah alih oleh kerajaan.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada kritikan hebat berhubung dengan arahan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada Jun lepas, supaya syarikat telekomunikasi menyediakan data semua panggilan telefon bimbit yang dibuat dari Januari hingga Mac.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata permintaan MCMC itu bertujuan membantu Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam pengumpulan data, bagaimanapun dasar itu telah menerima kecaman hebat daripada pihak yang khuatir akan isu privasi dan keselamatan data.

Beliau turut merujuk kes baru-baru ini apabila syarikat teknologi gergasi, Google, didenda sebanyak USD14 juta kerana didakwa mengumpulkan data daripada 14 juta pengguna telefon pintar di California tanpa kebenaran mereka.

"Namun, jarang sekali kita menyuarakan kebimbangan akan jenis data yang kita sendiri kerap serahkan sendiri kepada platform media sosial, enjian carian, kecerdasan buatan dan model bahasa berskala besar," katanya ketika berucap melancarkan Persidangan dan Ekspo Ketersambungan Antarabangsa 2025 di sini hari ini.

Pada 8 Jun, Fahmi berkata permintaan MCMC untuk data panggilan telefon bimbit daripada syarikat telekomunikasi bertujuan menyokong pembentukan dasar berasaskan bukti, termasuk bagi penambahbaikan infrastruktur rangkaian.

Beliau berkata permintaan itu tidak mengandungi identiti dan maklumat yang boleh digunakan untuk mengenal pasti mana-mana individu.

Fahmi berkata tujuan pengumpulan data itu adalah untuk menyokong statistik rasmi DOSM yang menumpukan kepada trend untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai mutu rangkaian, tahap penglibatan pengguna dan jumlah pengguna di satu-satu mukim dan daerah.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan