AM

Festival Udara Taiping 2.0 Bakal Tarik 50,000 Pengunjung

29/07/2025 04:46 PM

IPOH, 29 Julai (Bernama) -- Penganjuran Festival Udara Taiping 2.0 (FUT 2.0) yang akan berlangsung dari 31 Julai hingga 3 Ogos ini di Lapangan Terbang Tekah, Taiping dijangka menarik kehadiran lebih 50,000 pengunjung dari dalam dan luar negara, menjadikannya antara festival udara terbesar pada tahun ini.

Pengarah projek Kapten Syafiq Bahri berkata FUT 2.0 merupakan kesinambungan kejayaan edisi sulung pada 2024, yang telah membuka lembaran baharu dalam usaha memperkenalkan Taiping sebagai destinasi pelancongan berasaskan penerbangan dan teknologi rekreasi udara bertaraf antarabangsa.

“Berbekalkan kejayaan menghimpunkan lebih 10,000 pengunjung pada tahun lepas, kita jangkakan FUT 2.0 akan melebihi angka itu dengan penganjuran skala lebih besar selain melibatkan agensi kerajaan, komuniti setempat dan pemain industri.

“FUT 2.0 juga diselaraskan dengan matlamat Perak Sejahtera 2030 serta kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, menjadikan festival ini antara acara berimpak tinggi dalam kalendar pelancongan negara,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Syafiq berkata festival itu turut memberikan pendedahan awal kepada golongan belia, khususnya pelajar sekolah tentang kerjaya dalam industri penerbangan menerusi pengisian pendidikan seperti ceramah kerjaya, aktiviti interaktif dan simulasi penerbangan.

“Lebih 500 pelajar dijangka menghadiri sesi yang menampilkan penceramah dalam bidang kejuruteraan dan perkhidmatan juruterbang. Aktiviti lain seperti pertandingan membina kapal terbang kertas, melukis dan mewarna berkonsepkan dunia udara turut disediakan kepada mereka.

“Pihak kami juga menawarkan peluang unik kepada pelajar melalui aktiviti joyride menggunakan dua jenis pesawat, iaitu Microlight dan Cessna 172 yang akan membawa mereka merasai sendiri pengalaman penerbangan di ruang udara Taiping,” katanya.

Beliau berkata selain itu, pengunjung berpeluang menyaksikan pameran pelbagai jenis pesawat melibatkan hingga 10 model termasuk Viper, Cessna Caravan, Cessna 172, Mooney, Gyrocopter serta beberapa lagi pesawat ringan yang digunakan dalam sektor latihan, rekreasi dan profesional.

Selain itu, Syafiq berkata festival berkenaan memberikan peluang kepada lebih 100 usahawan tempatan yang terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana menjana pendapatan melalui jualan makanan dan minuman serta pakaian.

“Dengan penglibatan aktif pelbagai pihak dan sambutan hangat yang dijangkakan, FUT 2.0 diyakini menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekosistem aeroindustri negara serta menjadikan Taiping sebagai ikon pelancongan teknikal dan sejarah yang unggul di Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan