AM

“AFFIN Treasure Trails” Kembali Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-50

29/07/2025 04:50 PM

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Kumpulan AFFIN (AFFIN) baru-baru ini menganjurkan edisi kedua AFFIN Treasure Trails bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 kumpulan itu, bertemakan ‘50 Tahun Bersama Anda’ bagi menghargai kepercayaan yang diberikan sejak lima dekad lepas. 

Sebanyak 61 pasukan melibatkan 305 peserta akan menaiki pengangkutan awam untuk menyelesaikan petunjuk dan melaksanakan pelbagai cabaran di mercu tanda ikonik, termasuk Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan Bukit Bintang.

Pengarah Eksekutif Perbendaharaan Kumpulan Affin Bank Berhad Hanif Ghulam Mohammed berkata acara pada tahun ini melambangkan semangat kolektif yang bermatlamat untuk mengukuhkan lagi perpaduan.

“Sempena ulang tahun ke-50 AFFIN, kami kekal komited untuk memacu inovasi, memperkukuh keterhubungan, menawarkan perkhidmatan pelanggan tanpa tandingan serta menerajui agenda perbankan yang bertanggungjawab. 

“Menerusi inisiatif seperti ini, kami berhasrat untuk merapatkan hubungan dengan menggabungkan elemen keterujaan, pendedahan terhadap produk dan penglibatan yang lebih tersusun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Beliau berkata daripada sekadar memberi penekanan terhadap kepada perlaksanaan aktiviti yang berteraskan nilai, Treasure Trails juga mencerminkan evolusi AFFIN sebagai sebuah bank moden dan progresif yang inklusif, berimpak serta sentiasa maju ke hadapan. 

Susulan kejayaan penganjuran edisi sulung sebelum ini, kali ini KLCC menjadi medan permainan bandar yang meriah sekali gus menonjolkan kerjasama strategik, meneroka potensi produk dan perlaksanaan amalan kelestarian. 

Edisi kali ini turut menghimpunkan peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk rakan strategik, pelanggan, wakil media serta petugas daripada cawangan dan jabatan dalam Kumpulan AFFIN, melambangkan semangat perpaduan dan kepelbagaian yang menjadi asas budaya korporat kumpulan itu.

Majlis pelepasan rasmi acara berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Affin Bank Berhad Datuk Agil Natt.

Hanif berkata penggunaan pengangkutan awam dalam acara itu bertujuan menzahirkan komitmen teguh Kumpulan AFFIN terhadap kelestarian serta nilai-nilai Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

“Dengan mempromosikan mobiliti mesra alam, inisiatif itu menggalakkan peserta untuk menghayati tanggungjawab terhadap alam sekitar di samping menyerlahkan akses kepada hab kewangan moden seperti Tun Razak Exchange (TRX),” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan