MELAKA, 23 Julai (Bernama) -- Bengkel Antarabangsa Deklarasi Melaka mengenai Pemerkasaan Nilai Warisan Budaya menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh kerjasama budaya serantau, dengan negara anggota ASEAN meneroka peluang untuk menjadikan warisan bersama sebagai kekuatan bagi pembangunan mampan dan diplomasi.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata bengkel dua hari itu bermatlamat menterjemah Deklarasi Melaka kepada rangka kerja yang boleh dilaksanakan bagi menggalakkan pemerkasaan nilai warisan bersama, meningkatkan ketahanan serantau serta membuka peluang sosioekonomi yang mampan dalam kalangan negara anggota ASEAN.
“Ia bukan sekadar bengkel, sebaliknya platform strategik untuk merintis kerjasama baharu, meningkatkan ilmu pengetahuan dan membentuk masa depan budaya ASEAN secara menyeluruh. Bengkel ini pencetus perubahan dalam kerjasama serantau,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan bengkel itu di sini hari ini.
Beliau berkata antara bidang tumpuan ialah memaksimumkan potensi sosioekonomi warisan ketara dan tidak ketara, memupuk kesedaran awam serta pendidikan mengenai pemeliharaan warisan di peringkat akar umbi, mengintegrasikan budaya dan warisan ke dalam dasar pembangunan mampan yang lebih menyeluruh, serta menyokong usaha pemulangan dan perlindungan aset budaya bersama merentasi sempadan.
Melalui sesi perbincangan panel, sesi pecahan kumpulan dan pertemuan pleno, peserta katanya dijangka dapat merumuskan strategi bagi mempertingkatkan rantaian nilai warisan, menggalakkan pelancongan warisan, membuka peluang pekerjaan serta menggabungkan unsur budaya dalam agenda pembangunan negara dan serantau.
"Bengkel ini juga berperanan sebagai platform untuk membina kapasiti dalam kalangan pihak berkepentingan ASEAN melalui pemindahan pengetahuan dalam bidang seperti pengurusan warisan, prosedur pemulangan, dan perancangan pelancongan mampan,” katanya.
Selain itu, Shaharuddin berkata bengkel itu juga menjadi penyumbang penting kepada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 Oktober depan, dengan hasil bengkel dijangka memberi input bagi dokumen hasil Komuniti Sosiobudaya ASEAN yang akan membentuk kerjasama budaya masa depan di seluruh rantau ini.
Dengan menumpukan kepada pemerkasaan nilai dalam kerjasama budaya, beliau yakin bengkel berkenaan akan menyediakan pihak berkepentingan satu panduan jelas untuk mengubah aset budaya menjadi pemangkin ekonomi yang terangkum, meliputi pelancongan warisan, industri kreatif, pendidikan dan pemerkasaan komuniti.
Beliau berkata pemilihan Melaka sebagai tuan rumah bengkel itu adalah bersifat simbolik dan strategik, memandangkan statusnya sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO).
“Persekitarannya yang kaya dengan warisan, lengkap dengan seni bina yang terpelihara rapi, muzium, kampung budaya dan kemudahan pelancongan akan memberikan pengalaman mendalam kepada delegasi ASEAN selari dengan objektif bengkel itu.
“Menerusi usaha ini, Malaysia khususnya Melaka menyatakan hasrat untuk berperanan bukan sahaja sebagai hab serantau bagi warisan dan budaya, tetapi juga pemangkin kepada kemajuan budaya ASEAN yang bersatu, berteraskan nilai bersama, saling menghormati dan pembangunan bersama,” katanya.
Bengkel dianjurkan MOTAC bersama Sekretariat ASEAN dan rakan strategik Think City itu menghimpunkan lebih 100 peserta termasuk pakar budaya, ahli akademik dan peneraju dalam ekonomi kreatif serta wakil daripada negara anggota ASEAN.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial