PUTRAJAYA, 22 Julai (Bernama) -- Malaysia bakal menjadi tuan rumah Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Alam Sekitar ASEAN ke-36 (ASOEN-36) yang dijadualkan berlangsung pada 28 hingga 31 Julai ini di Langkawi, Kedah, bersempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam kenyataan hari ini memaklumkan mesyuarat itu merupakan platform teknikal tertinggi ASEAN dalam bidang alam sekitar, yang menghimpunkan pegawai kanan dari 10 negara anggota bagi memperkukuh dasar, strategi dan kerjasama serantau berkaitan perlindungan alam sekitar.
“ASOEN-36 akan memberi tumpuan kepada pemuliharaan biodiversiti, pengurusan sumber semula jadi secara mampan dan tindakan bersama menghadapi perubahan iklim,” menurut NRES.
NRES memaklumkan, mesyuarat empat hari itu akan dimulakan dengan Kenyataan Bersama ASEAN tentang perubahan iklim yang akan dibawa ke Persidangan Pihak-Pihak ke-30 Konvensyen Rangka Kerja PBB mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC COP30), bagi memastikan suara ASEAN lebih bersepadu dalam rundingan global berkaitan perubahan iklim.
“Ini disusuli dengan Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Pusat Biodiversiti ASEAN (ACB GB) yang membincangkan hala tuju strategik, polisi, pelaksanaan program serta perkara berkaitan pengurusan ACB dalam memelihara biodiversiti serantau,” menurut kenyataan itu.
NRES memberitahu mesyuarat itu turut merangkumi Dialog Kerjasama Alam Sekitar ASEAN-Jepun ke-19 (AJDEC) serta dialog dengan Korea Selatan, Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat.
Kenyataan itu memaklumkan ASOEN-36 melibatkan tujuh kumpulan kerja teknikal merangkumi bidang seperti biodiversiti, perubahan iklim, pengurusan sisa, perbandaran lestari dan pengurusan sumber air. Selain itu, turut diadakan mesyuarat bersama rakan dialog ASEAN Campur Tiga melibatkan China, Jepun dan Korea Selatan.
Kenyataan itu menyebut, penganjuran ASOEN-36 memberi peluang kepada Malaysia untuk memperlihatkan inisiatif serta pencapaian negara dalam bidang kelestarian alam sekitar, selain memperkukuh diplomasi serantau selaras dengan prinsip Malaysia MADANI.
“ASOEN kali ini turut menekankan aspek kelestarian selaras dengan Garis Panduan Pelaksanaan Inisiatif ASEAN Lestari (GPPIAL) yang dikeluarkan NRES. Ia memberi fokus kepada pengurangan jejak karbon, penggunaan sumber yang cekap dan pengurusan sisa yang bertanggungjawab,” menurut NRES.
Menurut kenyataan itu, ASOEN-36 merupakan kesinambungan kepada mandat serta hasil perbincangan Mesyuarat ASOEN-35 yang telah berlangsung di Vientiane, Laos.
“Menerusi ASOEN, mandat berkaitan isu alam sekitar diangkat untuk pertimbangan dan perbincangan selanjutnya di peringkat Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN (AMME),” menurut NRES.
NRES berharap ASOEN-36 dapat mempercepatkan tindakan kolektif dan memperkukuh kolaborasi serantau dalam perlindungan alam sekitar secara lebih holistik dan mampan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial