KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Semua bentuk sumbangan atau pelibatan luar termasuk orang kenamaan dan ahli politik di institusi di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mematuhi garis panduan sedia ada.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata semua bentuk sumbangan atau pendanaan awam hendaklah disalurkan mengikut ketetapan yang digariskan dalam surat pekeliling ikhtisas KPM Bilangan 3 tahun 2018: Panduan Penyaluran dan Penerimaan Sumbangan daripada Sektor Swasta dan Bukan Swasta Kepada Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan KPM bertarikh 29 Mac 2018.
“Sumbangan-sumbangan ini juga bagi memastikan interaksi yang profesional di institusi pendidikan serta mengutamakan keselamatan, kesejahteraan dan kebajikan warga sekolah,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) mengenai prosedur pemberian sumbangan oleh organisasi seperti syarikat, yayasan ataupun wakil rakyat kepada pihak sekolah.
Fadhlina berkata sebarang lawatan atau pelibatan orang kenamaan dan ahli politik pula tertakluk kepada pematuhan surat pekeliling ikhtisas KPM Bilangan 4 tahun 2023: Garis Panduan Undangan atau Lawatan Orang Kenamaan dan Ahli Politik ke Institusi Pendidikan di bawah KPM bertarikh 21 Feb 2023.
“Kedua-dua garis panduan ini adalah penting dalam memastikan sumbangan dan pelibatan luar dapat dilaksanakan secara berhemah, berfokus kepada manfaat pendidikan dan selaras dengan prinsip ketelusan serta keharmonian ekosistem sekolah,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Datuk Lo Su Fui (GRS-Tawau) mengenai jaminan agar KPM menyemak semula kandungan silibus pembelajaran agar selari dengan keperluan pasaran masa kini, Fadhlina berkata KPM mempunyai satu sistem bagi membantu pelajar memilih laluan pendidikan dan kerjaya yang sesuai dengan kelayakan serta kecenderungan mereka.
“Mereka ini akan dipandu oleh guru kaunseling dan juga guru berdasarkan keputusan dan juga penglibatan mereka di dalam kokurikulum akan melayakkan mereka melihat kepada kursus-kursus yang wajar untuk mereka tekuni khususnya selepas SPM (Sijil Pelajaran Malaysia),” katanya.
Terdahulu, menjawab soalan asal Lo, Fadhlina berkata KPM sedang memperkukuh usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2026-2035 dengan penekanan kepada penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selaras keperluan semasa dan persaingan global.
Beliau berkata pelan baharu itu menumpukan lima fokus utama iaitu kualiti, akses dan ekuiti, ketersediaan sumber dan kecekapan, keluwesan serta kemampanan dengan penjajaran kurikulum kepada realiti pasaran serta penerapan teknologi AI.
“Pelantar pembelajaran digital DELIMa yang dilancarkan sejak Julai 2019 juga menyediakan 16 aplikasi AI seperti Gemini, ChatGPT, Bing AI dan Conker AI untuk membantu guru merancang pengajaran, menyediakan kuiz serta mencipta sumber pendidikan yang dapat meningkatkan produktiviti dan mutu pengajaran dan pembelajaran”, katanya.
Lo ingin tahu bagaimana PPPM 2026-2035 akan diperkasakan bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui penerapan teknologi seperti AI dan TVET selari keperluan semasa serta persaingan global memandangkan 160,000 penganggur di Sabah dan 600,000 di seluruh negara masih belum bekerja pada 2024.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial