SHAH ALAM, 21 Julai (Bernama) -- Kerajaan Selangor akan melaksanakan program 'Ambulans Kita Selangor' sebagai satu inisiatif memperkukuh sistem sokongan dan memperkasa akses kesihatan rakyat di negeri ini, kata Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin.
Beliau berkata program yang dijangka dilaksanakan dalam tempoh terdekat itu bakal menyediakan perkhidmatan ambulans bukan kecemasan secara percuma kepada golongan memerlukan, khususnya bagi keperluan janji temu rawatan, rawatan susulan, serta sesi rawatan berkala di hospital dan pusat rawatan bertauliah.
“Melalui Program Ambulans Kita Selangor, kerajaan negeri berhasrat menawarkan perkhidmatan ambulans yang lebih efisien, sistematik serta mudah diakses, dengan St John Ambulans Malaysia Selangor akan bertindak sebagai rakan strategik penting dalam pelaksanaan inisiatif ini.
“Sebagai rakan pelaksana, peranan St John Ambulans Malaysia akan memberi impak besar bukan sahaja dalam memperluas capaian perkhidmatan malah memperkasakan lagi sistem kesihatan negeri secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jamaliah berkata usaha berkenaan membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh sektor perkhidmatan kesihatan awam menerusi kerjasama rakan strategik yang berpengalaman dan dipercayai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial