KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Pemberi maklumat yang ingin dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) tidak boleh membuat pendedahan terus kepada media, sebaliknya perlu merujuk terlebih dahulu kepada agensi penguatkuasaan yang sah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata langkah itu penting bagi memastikan maklumat yang diberikan sahih dan mengelakkan risiko pendedahan kerahsiaan negara.
“Banyak orang bertanya, mengapa pemberi maklumat yang pergi ke media, dia juga boleh dilihat sebagai satu daripada yang dibuatkan tuduhan, (tetapi) sebenarnya prosedurnya memang tidak boleh terus pergi kepada media.
“Pemberi maklumat mesti pergi kepada agensi yang bertanggungjawab sebab agensi perlu menilai kesahihan maklumat terbabit … kita nak menentukan bahawa rahsia negara itu tidak menjadi pada tahap disebut oleh pemberi maklumat, terutama sekali dalam isu keselamatan negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) mengenai keputusan kerajaan meminda definisi pemberi maklumat yang layak dalam Akta 711 supaya tidak mengecualikan pemberi maklumat daripada perlindungan di bawah akta berkenaan.
Azalina berkata prosedur undang-undang yang adil (due process) perlu dihormati dan media tidak seharusnya dijadikan tempat untuk menjatuhkan hukuman awal terhadap mana-mana pihak.
“Kalau dia (pemberi maklumat), contohnya pergi kepada media, akan wujudnya satu premise trial by media, maknanya media dah membuat keputusan, orang awam dah buat keputusan tentang kesalahan dan ini pun tidak adil kepada sistem proses undang-undang yang ada di dalam negara kita,” katanya.
Menjawab soalan asal Wee berkenaan status terkini pindaan akta itu, Azalina berkata kerajaan kini dalam fasa pertama pindaan melibatkan penubuhan Jawatankuasa Perlindungan Pemberi Maklumat yang berperanan untuk menyelia, mengumpul statistik serta data berkaitan pendedahan dan aduan yang dibuat di bawah Akta 711.
Beliau berkata pindaan yang akan dibuat untuk bacaan kali kedua esok itu juga akan melibatkan cadangan penambahbaikan kepada Seksyen 6 bagi memastikan perlindungan tetap sah meskipun pendedahan menyentuh aspek kerahsiaan di bawah undang-undang lain.
Menjawab kebimbangan berhubung keselamatan pemberi maklumat dalam kes berprofil tinggi, Azalina berkata dari segi kerahsiaan maklumat, Seksyen 8 Akta 711 akan terus terpakai secara automatik kepada semua individu yang diiktiraf sebagai pemberi maklumat.
“Identiti dan maklumat berkaitan pemberi maklumat dilindungi dan tidak boleh didedahkan tanpa kebenaran. Kerajaan juga mewujudkan satu sistem bebas seperti ombudsman … sebab kadang-kadang masalah dalam pemberi maklumat ialah apabila dia memberikan maklumat terhadap agensi penguatkuasaan.
“Itu sebabnya kalau kita lihat dalam fasa kedua, memang kita memerlukan satu sistem yang bebas yang dipanggil ombudsman supaya jaminan itu diwujudkan dan dikekalkan,” katanya.
Azalina berkata dalam kes tertentu, pemberi maklumat yang terlibat dalam salah laku masih boleh diberikan perlindungan di bawah Program Perlindungan Saksi, berdasarkan penilaian agensi penguat kuasa.
Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berhubung kes pemberi maklumat dalam skandal mineral Sabah, Azalina berkata beliau tidak dapat mengulas secara terperinci memandangkan kes berkenaan masih dalam perbicaraan.
Namun begitu, beliau berkata semua pemberi maklumat mesti melalui saluran sah supaya dilindungi undang-undang dan berharap pindaan yang akan dibentangkan akan terus memperkukuh sistem perlindungan sedia ada.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial