Deringan loceng memecah kesunyian malam, mengubah suasana di balai bomba itu yang tiba-tiba hinggar disulami hentakan kasut but anggotanya bergegas ke jentera merah yang sedia menunggu.
Tangan tangkas menyarungkan topi keselamatan ke kepala dan tali pinggang keselamatan diketatkan. Sebentar kemudian siren berbunyi, lampu biru dan merah menyala secara bergilir dan jentera merah memecut meninggalkan balai.
Bersandarkan alamat diberikan oleh satu suara cemas yang membuat panggilan, jentera merah itu menderu laju menuju destinasi. Dalam situasi itu, masa adalah segala-galanya kerana di sebalik kerakusan api menjilat rumah, mungkin di dalamnya ada nyawa sedang bertarung, menghela asap tebal untuk terus hidup.
Destinasi semakin hampir, namun pelik kerana tidak kelihatan warna jingga menjulang ke langit seperti lazimnya, ataupun riuh-rendah penduduk cuba membantu mangsa.
Segalanya sunyi, tidak ada asap ataupun api. Rasa kesal menyelubungi semua anggota. Panggilan palsu rupanya; si pemanggil mungkin sedang ketawa terbahak-bahak kerana berjaya “mengenakan” pasukan keselamatan itu.
Nampak remeh, namun bagi anggota bomba, masa yang terbuang itu ialah garis pemisah antara hidup dan mati mangsa lain yang mungkin benar-benar mengalami kecemasan.
BOMBA JADI TEMPAT MELUAH CERITA
Bagi segelintir individu, talian kecemasan bukan sekadar untuk melaporkan tragedi, tetapi saluran mereka meluahkan perasaan sedih, patah hati dan lain-lain - mungkin menganggap rasa terdesak mereka untuk bercakap dengan seseorang itu juga satu bentuk “kecemasan” yang perlu dikendalikan oleh pasukan penyelamat.
Berkongsi kisah yang kerap berlaku sebelum kewujudan talian Pusat Respons Kecemasan Malaysia (MERS) 999 tersebut, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Farhan Sufyan Borhan berkata pada ketika itu semua panggilan kecemasan menggunakan nombor 994 terus disambung ke balai bomba.
pic-2
“Mereka hubungi kami bukan sebab api (kebakaran) atau kemalangan. Ada yang putus cinta, ada yang kesunyian, kadangkala cuma dengar dengusan nafas dan ada juga pemanggil yang hanya mendiamkan diri, macam minta ‘ditemani’ untuk seketika.
“Mereka mungkin rasa perbuatan itu tidak salah, tetapi bagi kami, panggilan tersebut tetap panggilan palsu,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Menurutnya, panggilan sedemikian bukan hanya melengahkan tugas menyelamat sekiranya berlaku kes kecemasan sebenar, tetapi turut membawa impak kewangan kepada JBPM yang perlu membayar sendiri bil telefon.
“Pada masa itu bukan Telekom Malaysia (TM) yang tanggung. Bomba sendiri kena bayar bil walaupun panggilan itu cuma sekadar gurauan,” katanya.
Menyentuh panggilan kecemasan palsu yang menyaksikan anggota JBPM bergegas ke lokas namun tragedi yang dilaporkan tidak wujud, Farhan Sufyan berkata perbuatan tidak bertanggungjawab itu berisiko menyebabkan kes kecemasan sebenar tidak menerima bantuan tepat pada masa.
“Harga yang mungkin perlu dibayar akibat perbuatan tidak bertanggungjawab ini ialah keselamatan dan nyawa orang lain. Kalian bergurau, tapi bagi kami ia satu gurauan yang mahal harganya dan sangat berbahaya,” tegasnya.
MERS 999: TEKNOLOGI MEMBANTU TAPI MAKLUMAT MASIH KRITIKAL
Kemajuan teknologi memberi kelegaan kepada pasukan penyelamat termasuk JBPM, namun tidak menghapuskan sepenuhnya risiko panggilan palsu.
Talian MERS 999 diperkenalkan pada 1 Okt 2001, menggabungkan kesemua nombor kecemasan yang ada di negara ini, iaitu 991, 994 dan 999 yang melibatkan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, JBPM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
pic-3
Menerusi MERS 999 yang dikendalikan oleh TM secara percuma, setiap panggilan kecemasan disaring terlebih dahulu dengan nama, lokasi dan maklumat pemanggil direkodkan. Bagi kecemasan melibatkan JBPM, balai bomba terdekat akan menerima “call sheet” pada masa nyata, iaitu ketika pemanggil masih di talian bercakap dengan operator.
Ulas Farhan Sufyan, sistem itu amat membantu mereka, namun masih ada maklumat tambahan yang diperlukan bagi memastikan strategi menyelamat dapat disusun sebaik mungkin.
“Kalau kebakaran, kami kena tahu kebakaran jenis apa, jumlah mangsa yang terlibat dan lain-lain,” katanya. Sehubungan itu, beliau berkata maklumat tepat amat diperlukan daripada pemanggil.
Farhan Sufyan menarik nafas panjang sebelum berkongsi kisah yang masih menghantuinya hingga kini.
Di Sabah, seorang pemanggil menelefon dalam keadaan panik. Suaranya tergesa-gesa, nafas tercungap-cungap tetapi alamat yang diberi tidak lengkap. Komander operasi cuba bertanya lebih banyak, mencari nama lorong atau tanda bangunan. Ketika itu, Farhan Sufyan bertugas sebagai Timbalan Pengarah JBPM Sabah.
“Di tempat kejadian, api semakin marak. Akhirnya, tiga mangsa rentung. Bukan kerana terkurung di dalam rumah berjeriji, tapi kerana kami lambat dapat lokasi yang tepat. Saat-saat itulah yang membezakan nyawa diselamatkan atau terkorban,” kongsinya.
Berlaku pada 31 Julai tahun lepas, akibat kegagalan memberikan alamat lengkap, tiga mangsa termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun rentung, manakala tiga lagi dilaporkan cedera dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Blok 5, Pitas, Kota Marudu.
"Dalam kecemasan, maklumat itulah yang menjadi denyut pertama kepada usaha menyelamatkan nyawa,” tambah Farhan Sufyan.
STATISTIK: KECIL ATAS KERTAS, BESAR DI LAPANGAN
Farhan Sufyan berkata dalam tahun ini setakat 7 Julai lalu, JBPM Kelantan menerima 2,053 panggilan membabitkan 796 kebakaran; 1,173 penyelamatan; 76 tugas khas dan lapan panggilan palsu.
Taksiran kerugian bagi tempoh berkenaan berjumlah RM11.997 juta dan taksiran diselamatkan bernilai RM66.149 juta.
pic-4
Menurutnya, pada 2024, JBPM Kelantan merekodkan 6,099 panggilan dengan tujuh panggilan palsu; pada 2023 sebanyak 4,480 (tujuh panggilan palsu) dan 2022 merekodkan 4,213 panggilan dengan dua panggilan palsu.
Taksiran kerugian bagi tempoh 2024 berjumlah RM32.679 juta dan taksiran diselamatkan berjumlah RM1.7 bilion.
Sepintas lalu, jumlah panggilan palsu yang direkodkan itu kecil, namun di lapangan, satu panggilan sahaja sudah cukup untuk menjejaskan operasi menyelamat, katanya.
Mengulas lanjut, Farhan Sufyan berkata JBPM akan membuat laporan polis setiap kali menerima panggilan palsu.
“Ini bukan soal nak balas dendam, tetapi untuk mengelakkan perkara sama berulang,” jelasnya.
Mereka yang membuat panggilan palsu boleh didakwa mengikut Seksyen 233 (2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial