AM

Himpunan Turun Anwar: Tiada Notis Sukarkan Gerak Kerja, Namun Polis Akan Permudahkan - Saifuddin Nasution

16/07/2025 02:08 PM

PUTRAJAYA, 16 Julai (Bernama) --  Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membantu memudah cara penganjuran Himpunan Turun Anwar yang dijadual berlangsung di ibu negara pada 26 Julai ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata langkah itu diambil bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman peserta terjamin walaupun penganjur tidak lagi diwajibkan memohon kebenaran daripada pihak polis, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 sebagai tidak berperlembagaan.

Bagaimanapun, beliau mengakui ketetapan berkenaan sedikit menyukarkan gerak kerja PDRM dalam membuat perancangan kawalan keselamatan.

"Jika penganjur disyaratkan maklum kepada polis, kita akan tahu lokasi perhimpunan anggaran jumlah peserta supaya kita dapat gerakkan kekuatan yang munasabah, bukan untuk menyekat, tetapi bagi memudah cara.

“Namun, memandangkan kini tiada kewajiban memaklumkan, polis perlu menggunakan segala sumber sedia ada untuk merangka strategi keselamatan yang sesuai,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.

Saiffuddin Nasution memberi jaminan bahawa PDRM akan mengendalikan kawalan keselamatan semasa himpunan itu secara profesional, namun mengingatkan semua pihak agar mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Penganjur bertanggungjawab memastikan tiada senjata berbahaya dibawa, tiada ucapan yang menyentuh institusi diraja atau agama dimainkan, dan tiada penglibatan kanak-kanak,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa tindakan polis terhadap sebarang pelanggaran undang-undang bukan bermaksud menyekat kebebasan bersuara, sebaliknya sebagai pelaksanaan undang-undang sedia ada.

“Saya ingin ingatkan bahawa berhimpun adalah satu pilihan demokrasi. Kerajaan ini tidak pernah menyekat kebebasan bersuara rakyat,” katanya.

Pada 1 Julai lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa tindakan menghukum individu yang gagal memaklumkan kepada polis lima hari lebih awal sebelum mengadakan perhimpunan aman adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Menurut keputusan sebulat suara panel lima hakim, Seksyen 9(5) yang memperuntukkan hukuman denda bagi kegagalan memberikan notis awal merupakan satu bentuk larangan, bukannya sekatan yang dibenarkan di bawah Perkara 10(1)(b) Perlembagaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan