AM

MAIDAM Berjaya Ubah Hidup Asnaf Melalui Pendidikan, Keusahawanan

16/07/2025 09:28 AM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) berjaya mengubah kehidupan golongan asnaf, termasuk keluar daripada kemiskinan melalui program pendidikan dan keusahawanan berimpak tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Prof Madya Datuk Dr Ahmad Azrin Adnan berkata kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi dan hospital swasta berjaya melatih anak-anak asnaf dalam bidang kejururawatan hingga mereka berjaya memperoleh pekerjaan tetap.

“Di hujung tempoh pengajian, mereka akan menjalani latihan rasmi di hospital kemudian terus mendapat pekerjaan. Jadi, lengkap satu pusingan, dengan wang zakat digunakan secara optimum,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi.

Selain itu, Ahmad Azrin berkata lebih 70 peratus kutipan zakat negeri diagihkan kepada asnaf fakir dan miskin, dengan fokus terkini adalah terhadap pembangunan kapasiti produktif merangkumi bantuan tunai, emosi dan spiritual.

Beliau berkata kejayaan MAIDAM turut mendapat pengiktirafan apabila menerima Anugerah Zakat Kebangsaan kategori usahawan, membuktikan keberkesanan program pemerkasaan bagi melahirkan penerima zakat yang kini berdikari.

“Bantuan MAIDAM bukan sekadar tunai, kita bantu juga dari sudut emosi dan spiritual,” katanya.

Selain itu, Ahmad Azrin berkata MAIDAM turut menerajui inisiatif inovatif dalam pengurusan dana Islam seperti pelaburan berciri wakaf melalui Dana Dagangan Bursa (ETF) dan projek tenaga solar wakaf yang kini dalam proses kelulusan.

Dalam pada itu, beliau berkata MAIDAM turut menekankan pentingnya pendekatan bersepadu dalam pengurusan kemiskinan dan ketika ia sedang mengintegrasi data antara agensi bagi mempercepat serta memperkemas proses pemberian bantuan.

“Kita tak boleh guna pendekatan silo, (sebaliknya) kita perlukan pakatan semua pihak untuk menangani insiden kemiskinan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan