AM

Hubungan Antara Rakyat Elemen "perekat" Perkongsian Malaysia-New Zealand - Ahmad Zahid

14/07/2025 03:55 PM

Oleh Ahmad Erwan Othman

AUCKLAND, 14 Julai (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan hubungan antara rakyat sebagai “perekat” yang mengukuhkan jalinan kerjasama jangka panjang antara Malaysia dan New Zealand.

Beliau berkata ribuan pelajar Malaysia telah melanjutkan pengajian di New Zealand sejak sekian lama, dan menambah bahawa sektor pelancongan antara kedua-dua negara juga terus berkembang maju.

“Pertukaran ini bukan sahaja menyentuh hati, malah ia menjadi “perekat” yang merapatkan hubungan ekonomi, membina kepercayaan dan mewujudkan kefahaman jangka panjang,” katanya semasa sesi libat urus bersama Majlis Perniagaan ASEAN–New Zealand (ANZBC), di sini hari ini.

Sebagai Pengerusi ASEAN ketika ini, Ahmad Zahid berkata Malaysia mengundang New Zealand untuk terus berdiri seiring dengan rantau ini, dalam membentuk sebuah ASEAN yang lebih berpusatkan rakyat dan bersedia menghadapi masa depan.

“Marilah kita tumpukan bukan sahaja kepada peluasan perdagangan, tetapi juga dalam membentuk sebuah rantau yang bukan sahaja terbuka untuk perniagaan, tetapi juga terbuka kepada perubahan, inovasi dan keterangkuman,” katanya.

Sesi libat urus ANZBC yang berlangsung di Hotel Park Hyatt Auckland itu, dianjurkan secara bersama oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Majlis Perniagaan ASEAN-New Zealand (ANZBC) dan Kementerian Luar dan Perdagangan New Zealand (MFAT).

Ia bertujuan untuk memperdalam hubungan ekonomi dua hala, meneroka peluang perdagangan dan pelaburan, serta mengukuhkan rangkaian perniagaan antara ASEAN dan New Zealand.

Ahmad Zahid tiba di sini awal hari ini bagi memulakan lawatan kerja selama lima hari ke New Zealand.

Antara program beliau termasuk pertemuan dengan Gabenor Jeneral Dame Cindy Kiro, Timbalan Perdana Menteri David Seymour, Menteri Luar Winston Peters, Menteri Pembangunan Maori Tama Potaka, serta Menteri Pertanian, Perdagangan dan Pelaburan Todd McClay.

Program lain yang telah dijadualkan termasuk lawatan ke Pusat Pengurusan Krisis Nasional, sesi meja bulat bersama komuniti Maori di Rotorua dan pertemuan dengan kira-kira 250 rakyat Malaysia yang menetap di New Zealand.

Lawatan rasmi terakhir ke New Zealand oleh pemimpin tertinggi Malaysia adalah pada Mac 2005 oleh Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang ketika itu merupakan Perdana Menteri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan