AM

SMC Cipta Rekod MBOR Dengan Buaian Tradisi Melanau ‘Itut’ Setinggi 18.3 Meter

13/07/2025 08:52 PM

SIBU, 13 Julai (Bernama) -- Majlis Perbandaran Sibu (SMC) mencatat sejarah dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi pembinaan ‘itut’, buaian tradisional Melanau setinggi 18.3 meter yang menjadi tarikan utama Festival Kebudayaan Borneo (BCF) 2025.

Buaian yang dibina di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa 1 oleh Persatuan Kebajikan Melanau Kampung Nangka itu berjaya menarik seramai 2,288 pengunjung untuk mencubanya, melebihi sasaran awal 2,000 orang berikutan cuaca baik sepanjang 10 hari festival yang bermula 3 Julai lepas.

Pengerusi SMC Clarence Ting Ing Horh menerima sijil MBOR daripada wakilnya Edwin Yeoh pada majlis penutupan edisi ke-21 BCF malam tadi yang disempurnakan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Dr Sim berkata BCF tahun ini berjaya menampilkan kepelbagaian budaya, muzik dan tradisi etnik Borneo menerusi pelbagai persembahan, aktiviti komuniti dan pameran kebudayaan.

“Sepanjang 10 hari ini, orang ramai berpeluang menyaksikan kreativiti dan tradisi pelbagai komuniti, sekali gus memperkukuh perpaduan dan jati diri Borneo,” katanya dalam ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Michael Tiang Ming Tee.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua individu, agensi kerajaan, penggiat budaya, peniaga dan pegawai penguat kuasa atas komitmen mereka menjayakan festival tahun ini.

Menurutnya, acara seperti BCF bukan sekadar platform hiburan, malah berperanan penting dalam merapatkan hubungan sosial, mempromosikan pelancongan serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

“Ia adalah elemen utama dalam membina komuniti yang berdaya tahan, bersatu padu dan berpaksikan budaya,” katanya.

Dr Sim turut mengucapkan tahniah kepada SMC dan rakan penganjur atas kejayaan menjadikan edisi kali ini antara yang paling berjaya, dan berharap semangat perpaduan serta penghargaan terhadap budaya yang ditonjolkan sepanjang festival akan terus subur dalam kehidupan harian masyarakat.

Festival tahunan ini menghimpunkan lebih 30 kumpulan etnik dengan pelbagai program seperti persembahan muzik, pameran seni, dapur komuniti dan bazar makanan tradisional.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan