PENAMPANG, 13 Julai (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang dalam fasa akhir merangka Dasar Pengguna Negara (DPN) 2.0 sebelum dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini.
Menteri berkenaan Datuk Armizan Mohd Ali berkata DPN 2.0 akan dijadikan sebagai rujukan utama kepada semua pihak berkepentingan dalam melaksanakan inisiatif serta aktiviti kepenggunaan di negara ini mulai 2026 hingga 2030.
Armizan berkata dasar itu juga akan memperinci peranan dan tanggungjawab setiap pihak berkepentingan sama ada secara langsung atau tidak langsung berkaitan dengan pengguna.
"Hubungan antara pelbagai pihak berkepentingan ini penting bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan undang-undang perlindungan pengguna serta penyampaian maklumat tepat dan menyeluruh ke arah pembentukan pengguna Malaysia berdaya upaya," katanya ketika berucap pada Festival Kepenggunaan 2025 di sini hari ini.
Festival tiga hari berakhir hari ini bertemakan "Semarak Konsumerisme" itu adalah acara kemuncak sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2025 disertai pelajar sekolah rendah, menengah dan universiti dari seluruh negara.
Penganjuran program itu sebagai platform penting untuk mengumpulkan syor dan pandangan berkenaan DPN 2.0 yang akan menjadi antara input dalam memuktamadkan penggubalan dasar kepenggunaan berkenaan.
Armizan berkata DPN 2.0 juga dirangka bagi memperkukuh kesiapsiagaan dalam menghadapi cabaran semasa dalam ekosistem kepenggunaan termasuk kelonggaran dalam aspek kawal selia dan penguatkuasaan serta tahap celik pengguna yang rendah sehingga terdedah kepada eksploitasi.
Selain itu, beliau berkata penggunaan produk yang tidak mematuhi standard keselamatan atau tidak mesra alam, penipuan dalam transaksi pembelian dan penyalahgunaan teknologi digital termasuk kecerdasan buatan (AI) juga menjadi cabaran dalam ekosistem kepenggunaan kini.
Beliau berkata DPN 2.0 juga akan memberi penekanan kepada isu kos sara hidup rakyat melalui pendekatan dasar inklusif dan responsif, antara lain menerusi pelaksanaan Program Payung Rahmah MADANI, peluasan penggunaan Portal Ihsan MADANI sebagai rujukan maklumat harga dan barangan keperluan serta penggunaan indikator kos sara hidup sebagai panduan perbelanjaan pengguna.
Sementara itu, Armizan berkata Skuad Kita Pengguna (SKiP) akan digerakkan sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat dalam menangani isu kepenggunaan secara lebih responsif dan inklusif sekali gus menjadi teras kepada keberkesanan pelaksanaan DPN2.0.
KPDN juga menyasarkan untuk mencapai jumlah pendaftaran ahli SKiP sebanyak 25,000 orang menjelang akhir tahun ini bagi memperkasakan peranan menggerakkan advokasi kepenggunaan di seluruh negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial