FOKUS BERNAMA

Nahas Bas UPSI Bawa Keinsafan Buat Petugas Barisan Hadapan

30/06/2025 10:20 AM

Walaupun keletihan selepas memandu pulang daripada meraikan Aidiladha di Terengganu, Penolong Penguasa Bomba Mohd Azizan Aziz yang masih dalam tempoh bercuti sukar melelapkan mata.

Bingkas, beliau kemudian ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik, tempat beliau bertugas sejak 2021. Bukan sesuatu yang luar biasa buat lelaki ini ke tempat kerja pada waktu-waktu di luar tugas memandangkan beliau tinggal bersendirian, jauh dari anak isteri.

Ketika menghampiri balai, beliau melihat suasana yang menunjukkan ada kecemasan. Namun, tidak terlintas di fikirannya yang awal pagi 9 Jun itu menjadi saksi satu nahas ngeri - terburuk dan paling meruntun hati dalam tempoh sembilan tahun beliau berkhidmat sebagai anggota pasukan penyelamat.

“Memang kebetulan saya tiba ketika balai baru menerima laporan. Sebuah jentera baru bergerak meninggalkan perkarangan balai ketika itu,” katanya kepada Bernama.

Ketua Balai BBP Gerik itu mengimbas kembali nahas yang meragut 15 nyawa penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), melibatkan sebuah bas persiaran dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, iaitu kira-kira 60 kilometer dari BPP Gerik. 

Bas itu disewa khas oleh sekumpulan 42 mahasiswa UPSI yang berasal dari Jerteh, Terengganu dan nahas berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang ke kampus di Tanjung Malim, Perak selepas menyambut Aidiladha bersama-sama dengan keluarga di kampung halaman.

 

MENYELAMAT DAN JAGA AIB

Bercerita lanjut, Mohd Azizan berkata nahas 9 Jun itu merupakan operasi kedua tersukar yang dilaksanakannya di JRTB dalam tempoh empat bulan.

“Memang banyak kes kemalangan yang melibatkan operasi sukar di JTRB ini. Pada tahun ini, sebelum kejadian bas UPSI, saya terlibat dalam operasi menyelamatkan dan mengeluarkan pemandu serta kelindan sebuah treler yang tersepit pada 8 Feb. Kejadian waktu siang. Treler terbabas dan terbalik ke dalam longkang. Seorang mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan seorang lagi cedera,” katanya.

pic-2

Dalam nahas bas itu, pihak bomba terpaksa memotong bahagian bumbung kenderaan berkenaan bagi mengeluarkan mangsa dengan ada yang dalam keadaan bertindih-tindan. 

Bagaimanapun katanya nahas bas tersebut adalah yang pertama beliau dari segi jumlah mangsa terlibat dan meninggal dunia.

Kemalangan itu melibatkan keseluruhan 48 mangsa termasuk empat sekeluarga yang menaiki MPV.

Menurut Mohd Azizan, dalam satu-satu kecemasan, ketua operasi memainkan peranan kritikal kerana segala tindakan yang dilaksanakan adalah berdasarkan keputusan dan penilaian awal pegawai berkenaan.

“Pada masa sama, walaupun kita sibuk menyelamatkan mangsa, menjaga aib mereka juga kami utamakan,” tegasnya lagi, menambah kekuatan mental amat penting ketika operasi sedemikian dengan setiap anggota perlu “menumpulkan” emosi agar usaha menyelamat dapat dilakukan dengan jaya.

 

HIRUK-PIKUK DALAM GELITA

Sementara itu, komandan operasi Pegawai Bomba Kanan II Kamarul Ariffin Abd Ghani berkata mereka menerima laporan nahas pada 1.04 pagi.

“Sebelum menerima laporan, kami masing-masing sibuk dengan tugas-tugas pentadbiran… ada yang siapkan laporan kes terdahulu untuk dimasukkan ke dalam sistem dan macam-macam lagi.

pic-3

“Saya berserta sembilan anggota kemudian bergegas ke tempat kejadian, dan semasa dalam perjalanan kami cuba menghubungi pemanggil yang melaporkan kejadian, namun gagal,” katanya kepada Bernama.

Katanya laporan awal itu tidak memberikan gambaran lengkap nahas, namun sebagai persediaan beliau menghubungi Pusat Gerakan Operasi Perak agar mengatur bantuan daripada BBP Jeli, Kelantan.

“Kami tiba di lokasi pada 2.05 pagi dan barulah kami nampak skala nahas… terlalu besar dan memerlukan lebih banyak bantuan,” ujarnya, menambah suasana ketika itu kelam-kabut dengan keadaan lokasi agak gelap di samping kehadiran orang awam yang cuba membantu mangsa, berserta suara tangisan mangsa yang cedera.

Beliau tidak menafikan sepanjang usaha menyelamat itu dirinya diselubungi rasa sedih dan sayu melihat keadaan mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian dengan makanan dibekalkan oleh keluarga bertaburan di sekeliling mangsa.

“Memang sedih sebab kita pun manusia biasa. Namun, kita ketepikan perasaan itu kerana tugas yang diamanahkan lebih utama,” katanya lagi dan menambah kali pertama beliau terlibat dalam operasi meruntun perasaan ialah semasa mencari mangsa tsunami 2004.

“Ketika itu saya bertugas di Pulau Pinang. Kami ditugaskan mencari mangsa di laut dan kami berjaya menemukan lima mayat yang dalam keadaan tidak sempurna.”

 

SATU PANGGILAN, SERIBU TANGGUNGJAWAB

Di Hospital Gerik yang terletak kira-kira satu jam memandu dari lokasi nahas, persiapan dilakukan bagi menerima mangsa dengan Dr Muhammad Adam Muskhan mengetuai operasi Jabatan Kecemasan.

Beliau berkata disebabkan skala kemalangan yang besar, pihak hospital mengaktifkan kod kecemasan Mass Casualty Incident (MCI) dengan langkah-langkah yang diambil termasuk menambah katil di semua tiga zon kecemasan - merah, kuning dan hijau.

pic-4

“Sebelum itu, kami juga memaklumkan Jabatan Kecemasan Hospital Taiping dan Hospital Raja Permaisuri Bainun agar kedua-dua hospital dapat bersedia untuk membantu,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, mereka menerima maklumat awal kejadian pada kira-kira 1 pagi, namun perjuangan "sebenar” bermula pada 3.18 pagi apabila mangsa pertama tiba.

“Apabila mangsa tiba, kita lakukan saringan sebelum mangsa dihantar ke zon rawatan dengan zon merah sebagai kritikal,” katanya dan menjelaskan sebahagian daripada mangsa  dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, sekalipun kemalangan itu  berlaku ketika cuti umum dengan sebilangan petugas sedang bercuti, semua persiapan dilaksanakan dengan pantas dan teratur.

“Saya rasa bangga dengan kecekapan dan ketangkasan yang ditonjolkan oleh para petugas.

"Ada beberapa kejadian MCI yang pernah saya lalui bersama-sama mereka, namun kali ini adalah paling besar dan mencabar kerana memerlukan kekuatan dan bantuan daripada pihak luar dan agensi lain," katanya lagi dan memaklumkan mereka turut dibantu petugas daripada Hospital Jeli dan klinik kesihatan berdekatan.

 

SIMULASI DAN LATIHAN MEMBANTU

Sementara itu, anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Koperal Mohd Zamri Taib bersyukur dengan latihan dan simulasi yang pernah diikutinya sebelum ini.

"Walaupun keadaan semasa kursus tidak sama dengan realiti, pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh semasa latihan itu membantu saya dalam operasi sebenar,” katanya yang juga pemandu ambulans APM.

pic-5

Mengakui terkejut selepas tiba di lokasi nahas, beliau berkata hatinya sudah terdetik kemalangan tersebut bukan insiden biasa apabila tidak banyak kenderaan berada di atas jalan sepanjang perjalanan ke tempat kejadian.

"Tidak seperti kebiasaan, iaitu JRTB sibuk dengan kenderaan apabila musim cuti umum dan perayaan. Pagi itu tidak banyak kenderaan yang berselisih dengan kami. 

“Saya dan tiga lagi anggota di dalam ambulans mula tertanya-tanya keadaan sebenar kemalangan. Sekalipun begitu, saya tetap berasa terkejut apabila melihat begitu ramai mangsa terlibat setiba di lokasi,” ceritanya.

pic-6

Bagaimanapun, beliau dan rakan sepasukan tidak berlengah, sebaliknya terus memulakan tugas mengeluarkan mangsa yang cedera dari lokasi dan dibawa ke hospital selepas diberikan rawatan awal.

Berulang-alik dari lokasi ke Hospital Gerik sebanyak dua kali, Mohd Zamri berkata sepanjang 14 tahun berkhidmat dengan APM, kemalangan tersebut benar-benar memberi keinsafan kepadanya.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan