AM

Pengakap Sedia Terima Murid Seawal Tahun Satu

29/06/2025 11:12 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Gerakan pengakap bersedia menerima penyertaan murid seawal usia tujuh tahun atau Tahun Satu dengan silibus dan kurikulum yang telah dirangka khusus mengikut tahap perkembangan usia mereka.

Ketua Pengakap Negara Mejar Jeneral (B) Prof Datuk Dr Mohd Zin Bidin berkata walaupun program pengakap telah tersedia untuk kanak-kanak prasekolah yang dikenali sebagai Pengakap Lebah, penyertaan mereka terhenti apabila memasuki Tahun Satu memandangkan sistem unit beruniform sekolah hanya bermula pada Tahun Empat.

Beliau berkata jurang itu menyebabkan murid Tahun Satu hingga TahunTiga tidak berpeluang menyertai mana-mana persatuan atau badan beruniform secara rasmi di sekolah meskipun mereka telah menunjukkan potensi untuk dibimbing.

“Sebenarnya, kita sudah mempunyai kurikulum khusus untuk murid-murid tadika daripada umur empat hingga sembilan tahun. Malangnya, apabila murid tadika ini menyertai darjah satu, sistem badan beruniform di Kementerian (Pendidikan) hanya bermula pada darjah empat.

“Saya harap kerajaan dapat menukar polisi supaya murid-murid darjah satu boleh menyertai badan beruniform. Pengakap sudah sedia dengan silibus dan kurikulum berkaitan sesuai dengan umur murid darjah satu hingga tiga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penutupan Bengkel Impak Sosial dan Advokasi Rantau Asia-Pasifik 2025 di sini hari ini yang turut dihadiri Yang Dipertua Dewan Rakyat merangkap Ahli Majlis Pengakap Negara Tan Sri Dr Johari Abdul.

Pada Khamis lepas, Pengerusi Eksekutif Polity Nurul Izzah Anwar mencadangkan agar murid Tahun Satu dibenarkan menyertai gerakan pengakap sebagai usaha awal memupuk nilai kepimpinan, disiplin dan semangat berpasukan dalam kalangan generasi muda.

Sehubungan itu, Mohd Zin menyifatkan cadangan tersebut amat baik dan wajar diberi perhatian oleh kerajaan kerana murid zaman kini mempunyai ciri-ciri yang membolehkan mereka menyertai pengakap lebih awal.

Beliau menjelaskan cadangan itu juga selaras dengan amalan di negara lain seperti Hong Kong, Maldives dan Filipina apabila kanak-kanak seawal usia empat tahun telah menyertai pengakap secara aktif.

“Murid tadika empat tahun pun sudah pandai guna gajet. Mereka yakin, ada ciri-ciri kepimpinan dan kemahiran insani yang cukup untuk kita perbaiki lagi melalui penglibatan dalam pengakap seawal umur tujuh tahun,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Zin berkata penglibatan dalam pengakap juga bukan sekadar aktiviti kokurikulum, malah satu platform penting dalam pembinaan karakter, jati diri, gaya hidup sihat dan semangat cintakan tanah air dalam kalangan generasi muda.

Selain pengakap berasaskan sekolah, beliau berkata Persekutuan Pengakap Malaysia juga mempunyai unit berasaskan komuniti dan ibu bapa yang ingin anak-anak aktif dalam pengakap sejak awal boleh menghantar mereka secara sukarela ke unit berkenaan yang beroperasi di pelbagai kawasan seluruh negara.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan