AM

Kerajaan Negeri Perlu Segerakan Pemakaian Akta Perhutanan Negara Baharu

29/06/2025 03:19 PM

SHAH ALAM, 29 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri diseru menyegerakan pemakaian Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 sebagai Enakmen Perhutanan masing-masing dalam membantu usaha memperkukuh pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan berhutan negara. 

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata setakat ini hanya Wilayah Persekutuan dan Perlis menerima pakai keseluruhan pindaan yang  dicadangkan dalam Rang Undang-Undang berkenaan.

“Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) terus komited dalam memperkukuh usaha pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan berhutan negara.

“Kerajaan beriltizam untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah dilitupi pokok-pokok dan kawasan hutan selaras dengan komitmen negara semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro, Brazil pada 1992,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Tahun 2025 Peringkat Kebangsaan di Taman Botani Negara di sini hari ini. 

Huang berkata perkara lain yang perlu dilakukan untuk memenuhi komitmen itu termasuk pewartaan kawasan hutan mengikut kepentingan peranan hutan terbabit dan meningkatkan insentif kewangan bagi Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti (EFT).  

“Kementerian menggiatkan usaha pewartaan kawasan-kawasan berhutan lain sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK), Hutan Tadahan Air dan Kawasan Perlindungan Sepenuhnya serta pewartaan kawasan Cadangan HSK khususnya yang terletak dalam kawasan tulang belakang hutan tengah dan Kawasan Sensitif Alam Sekitar. 

“Peruntukan EFT pula ditingkatkan kepada RM250 juta pada tahun ini berbanding RM200 juta tahun lepas. Insentif ini dapat membantu kerajaan negeri untuk mengenal pasti dan melaksanakan projek-projek berimpak tinggi bagi tujuan konservasi selaras dengan enam skop pelaksanaan projek EFT bagi melindungi kawasan hutan dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri,” katanya. 

Terdahulu, beliau berkata sebanyak 115.7 juta pokok melibatkan 1,972 spesies berjaya ditanam di seluruh negara dengan 43.9 juta pokok ditanam di Semenanjung, 48.3 juta (Sarawak) dan 23.5 (Sabah) setakat 15 Jun lepas. 

“Sasaran 100 juta pokok berjaya dicapai setahun lebih awal iaitu pada 10 Dis 2024 melalui penanaman simbolik Pokok Merbau sebagai pokok ke-100 juta oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Taman Herba, Parlimen Malaysia.

“Walaupun sasaran jumlah penanaman berjaya dicapai, kempen ini akan diteruskan sehingga akhir tahun ini bagi merealisasikan objektif yang penting dalam kempen ini, iaitu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pokok dan kawasan berhutan serta memupuk semangat cintakan alam semula jadi,” katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan