AM

Lebih Tiga Tan Durian ‘licin’ Pada Hari Pertama Karnival KPDN 2025 Zon Selatan

28/06/2025 04:53 PM

ISKANDAR PUTERI, 28 Jun (Bernama) -- Lebih tiga tan durian, bersamaan kira-kira 2,000 biji habis dijual dalam tempoh 12 jam pada hari pertama Jualan Rahmah MADANI sempena Jelajah Karnival Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) 2025 Zon Selatan di Puteri Harbour semalam.

Peniaga durian Mohd Hairul Mohd Aziz, 43, dari Batu Pahat berkata promosi harga mesra pengguna antara RM25 hingga RM35 sekilogram bagi varieti premium Musang King, berbanding harga pasaran RM40 hingga RM60 menjadi faktor utama sambutan luar biasa pengunjung.

“Dari 10 pagi hingga 10 malam semalam sahaja, kami berjaya menjual hampir 3 tan durian. Hari ini kami sasar 4 tan lagi, insya‑Allah,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di khemah jualannya di Jelajah Karnival KPDN 2025 Zon Selatan hari ini.

Mengulas mengenai Kempen Makan Buah‑Buahan Tempatan yang diumumkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri  Mohamad Sabu semalam, beliau menyifatkan inisiatif itu sebagai langkah tepat mengetengahkan hasil pertanian negara.

“Durian Malaysia antara yang terbaik di dunia. Jika acara seperti ini kerap dianjurkan, rakyat dapat menikmati durian premium yang biasanya dieksport,” katanya.

Mohd Hairul turut menyokong peluasan Jualan Rahmah MADANI dan kempen mempromosi buah-buahan tempatan, khususnya selepas sebahagian buah import kini dikenakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

“Ini adalah masa terbaik untuk kita promosikan buah tempatan secara agresif. Kualitinya tinggi dan wajar menjadi pilihan utama rakyat,” katanya.

Pengunjung turut menyambut baik program sebegini yang menawarkan harga berpatutan sambil meningkatkan permintaan hasil tani tempatan.

Siti Rubiah Manshor, 51, berkata buah‑buahan tempatan seharusnya menjadi pilihan utama rakyat, terutama dalam keadaan ekonomi semasa.

“Sayang kalau buah tempatan bukan pilihan pertama, sedangkan orang luar berebut membelinya. Kempen makan buah tempatan ini bagus tetapi perlu dilaksanakan secara konsisten,” katanya.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2025 bertemakan ‘Jom Beli Lokal’, bagi memperluas penembusan produk tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada barangan import.

--  BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan