JENAYAH & MAHKAMAH

Kebakaran Kilang: Siasatan, Pemantauan Masih Diteruskan Agensi Terlibat

25/06/2025 05:26 PM

JOHOR BAHRU, 25 Jun (Bernama) -- Siasatan dan pemantauan masih diteruskan oleh semua agensi terlibat berhubung insiden kebakaran stor penyimpanan lori serta minyak enjin di Jalan Cenderai, Taman Kota Puteri, Masai, di sini, pada Sabtu lepas. 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata pihak berkuasa telah mengenal pasti pelanggaran serius terhadap undang-undang tanah, alam sekitar, keselamatan dan pengurusan sisa. 

Beliau berkata siasatan awal mendapati hanya sebuah premis penyimpanan minyak kelapa sawit memiliki lesen sah yang dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

"Mereka yang hendak membina kilang mestilah berada dalam kawasan telah dizonkan sebagai zon industri dan perlu menghantar kebenaran merancang (KM) kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk semakan jabatan teknikal daripada segi kelayakan. 

"Langkah itu merupakan proses sedia ada selama ini dan untuk kilang yang terbakar ini hanya sebuah kilang sahaja didapati berlesen, sementara lima yang lain beroperasi secara tidak sah tetapi dalam kawasan pemilikan satu 'owner'," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

Mohd Jafni berkata sehubungan itu, tindakan penguatkuasaan akan dikenakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

"Selain itu, kilang haram yang dibuat tanpa kebenaran ini tiada pampasanlah kerana di bawah tanggungjawab mereka sendiri. 

"Kita di peringkat PBT setakat ini tidak mempertimbangkan apa-apa pampasan memandangkan melibatkan sebahagian besar bangunan yang dibina secara haram manakala bagi kilang berlesen pula biasanya ada dilindungi insurans," katanya ketika ditanya mengenai bentuk bantuan atau pampasan yang akan disalurkan kepada pemilik atau penyewa premis yang sah dan telah terjejas dalam kejadian kebakaran tersebut. 

Sebanyak lima premis terbakar dalam kejadian yang melibatkan kawasan seluas kira-kira 1,000 meter persegi itu termasuk 15 kenderaan turut musnah.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan