AM

Kempen Internet Selamat Perkasa Kesedaran Ancaman Digital Dalam Kalangan Pelajar

25/06/2025 05:21 PM

SEREMBAN, 25 Jun (Bernama) -- Sesi interaktif Kempen Internet Selamat anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Negeri Sembilan membantu meningkatkan kesedaran dalam kalangan murid serta pelajar institusi pengajian tinggi terhadap ancaman digital dan etika penggunaan Internet.

Program berkenaan merangkumi pelbagai aktiviti pendidikan seperti ceramah, simulasi dan perbincangan terbuka berkaitan keselamatan siber, penipuan dalam talian, penyalahgunaan data serta amalan beretika ketika melayari Internet.

Guru Teknologi Maklumat dan Komunikasi Sekolah Kebangsaan Felda Pasoh 4, Jelebu, Ahmad Junaidi Abdul Karim berkata sebanyak 72 murid berumur 10 hingga 12 tahun yang menyertai program berkenaan dapat memahami manfaat dan risiko penggunaan Internet.

Menurutnya, kebanyakan murid kini sudah mahir menggunakan telefon bimbit dan Internet, namun memerlukan bimbingan untuk memahami batas dan risiko penggunaannya.

"Murid diberikan penjelasan mengenai larangan memiliki akaun media sosial kerana terdedah kepada ancaman seperti buli siber dan jenayah seksual siber. Mereka juga diajar langkah perlu diambil jika menerima mesej mencurigakan, antaranya memaklumkan kepada ahli keluarga dewasa.

“Modul yang disampaikan mudah difahami dan menarik. Hari ini mereka sedar tentang keperluan berhati-hati di Internet contohnya, tidak menekan pautan mencurigakan dan hanya melayari kandungan bermanfaat seperti bahan pendidikan," katanya kepada Bernama.

Ahmad Junaidi turut mencadangkan agar kempen seperti ini diperluaskan dan dijalankan secara berkala untuk memastikan mesej keselamatan Internet dapat difahami secara menyeluruh, terutama murid bawah 12 tahun.

Beliau turut menekankan pentingnya peranan ibu bapa dalam memantau penggunaan alat telekomunikasi anak-anak bagi mencegah mereka daripada terjerumus dalam masalah sosial atau menjadi mangsa jenayah siber, termasuk eksploitasi seksual.

Sementara itu, menerusi Bengkel Train of Trainer (ToT) Kempen Internet Selamat bersama pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan komuniti MADANI kampus Seremban baru-baru ini, peserta turut diberikan pendedahan berkaitan keselamatan dalam talian, termasuk etika penggunaan media sosial, perlindungan data peribadi serta kaedah menangani ancaman siber secara berhemah dan berkesan.

Sebanyak 63 peserta berkongsi idea dalam program berkenaan yang turut dihadiri Pengarah Kanan MCMC Wilayah Selatan Mohamad Rizal Ahmad dan Pengarah MCMC negeri Md Tahir Musa.

Wakil Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Cawangan Negeri Sembilan Nurul Hazwani Mad Shah, 23, berkata program itu memberi pendedahan jelas kepada golongan belia mengenai penggunaan Internet secara bertanggungjawab.

“Kami diberikan kefahaman tentang kepentingan keselamatan siber, terutama dalam menangani maklumat palsu dan taktik penipuan dalam talian. Belia masih mudah terperdaya dan menjadi mangsa penipuan kerana kurang pengetahuan," katanya.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran itu berkata semua pihak termasuk golongan dewasa perlu mengetahui tindakan boleh diambil sekiranya berdepan situasi mencurigakan dalam talian dan terus melaporkannya kepada pihak berkuasa.

"Penglibatan belia juga penting untuk menyampaikan mesej ini kepada pelajar sekolah kerana perbezaan umur yang tidak terlalu jauh memudahkan mereka didekati dan lebih mudah menerima bimbingan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan