AM

Pengantara Komuniti Selesai Konflik Di Peringkat Masyarakat - JPNIN

23/06/2025 04:32 PM

GEORGE TOWN, 23 Jun (Bernama) -- Pengantara komuniti memainkan peranan penting sebagai orang tengah dalam menyelesaikan konflik dan salah faham di peringkat masyarakat.

Timbalan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Pulau Pinang Zulkhairi Zainal berkata pengantara komuniti merupakan barisan hadapan yang melakukan tugas secara proaktif, telus dan tanpa kos sekali gus membantu mengelakkan campur tangan mahkamah atau penguat kuasa bagi kes-kes kecil yang boleh diselesaikan secara harmoni.

“Pengantara ini terdiri dalam kalangan pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT), dilatih secara khusus serta menerima pentauliahan daripada JPNIN sebagai pembantu awal atau pemula jika berlaku sebarang pertikaian dalam komuniti.

“Mereka bertindak secara pro bono iaitu tanpa bayaran dan bergerak secara sukarela. Mereka dilantik bagi mengurangkan isu atau konflik di peringkat komuniti sebelum ia menjadi lebih serius,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Dialog Pengantara Komuniti Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini hari ini.

Beliau berkata ketika ini terdapat 47 pengantara komuniti yang aktif di Pulau Pinang dan JPNIN akan terus melatih pengerusi atau ahli jawatankuasa KRT baharu dari semasa ke semasa bagi memperkasakan peranan tersebut.

Zulkhairi juga berkata sesi dialog itu, yang membabitkan pihak seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri, Agensi Antidadah Kebangsaan serta Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Pulau Pinang, adalah bagi memperkenal peranan pengantara selain membuka ruang kerjasama antara agensi dengan JPNIN.

“Kadangkala isu domestik di sekolah atau balai polis seperti salah faham, pergaduhan kecil atau konflik keluarga boleh diselesaikan tanpa perlu dibawa ke mahkamah dan di sinilah peranan pengantara menjadi penting sebagai jambatan perdamaian antara pihak terlibat,” katanya.

Beliau turut menyarankan agar agensi kerajaan yang berdepan isu berkaitan masyarakat menjadikan pengantara komuniti sebagai rujukan awal untuk menyelesaikan konflik secara aman dan berhemah.

Sebelum ini, Kementerian Perpaduan Negara memaklumkan pengantara komuniti adalah pihak ketiga yang berusaha mendapatkan penerimaan pihak terlibat dalam sesuatu konflik sosial untuk mencari titik-titik persetujuan yang boleh diterima oleh semua pihak dengan harapan perhubungan mereka tidak terus merosot, sebaliknya bertambah positif.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan