AM

100 Warga JPA Jayakan Ibadah Korban, Bantu Komuniti Seri Menanti

09/06/2025 07:14 PM

SEREMBAN, 9 Jun (Bernama) -- Seramai 100 pegawai dan kakitangan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melaksanakan ibadah korban sempena Program Ibadah Korban Kampung Angkat MADANI yang diadakan di Masjid Diraja Tuanku Munawir, Seri Menanti, Kuala Pilah, di sini hari ini.

Program berkenaan menyaksikan enam ekor lembu disembelih bermula seawal pukul 8 pagi, sebelum daging korban diagihkan kepada komuniti setempat sebagai usaha memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan dan masyarakat luar bandar.

Dalam satu  kenyataan, JPA memaklumkan seramai 24 asnaf di Kampung Seri Menanti turut menerima bantuan tunai sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan golongan memerlukan.

Program itu disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPA Datuk Nik Nasarudin Nik Zawawi yang turut serta bersama warga JPA dalam keseluruhan proses ibadah korban – bermula daripada perancangan, penyembelihan, penyediaan hingga pengagihan daging.

“Keprihatinan ini bukan sahaja mencerminkan nilai pengorbanan dan keikhlasan sebagaimana yang dituntut dalam Islam, malah memperkukuh nilai hormat dan kasih sayang dalam kalangan masyarakat setempat,” menurut kenyataan itu.

Program tersebut juga antara langkah proaktif JPA dalam menjayakan inisiatif Kampung Angkat MADANI, dengan matlamat memperkukuh tanggungjawab sosial serta membina jambatan mesra rakyat di peringkat akar umbi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan