SUNGAI BULOH, 3 Jun (Bernama) -- Sebanyak 514 anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dianugerahkan Diploma Kemahiran Malaysia tahun ini, selepas menamatkan latihan menerusi Program Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu atau Recognition of Prior Experiential Learning (RPEL).
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata inisiatif RPEL diperkenalkan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) pada 2017, bagi memberi peluang kepada anggota dan veteran ATM memperoleh diploma selepas menamatkan perkhidmatan.
Beliau berkata RPEL merupakan program pensijilan dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) yang mengiktiraf pengalaman, kemahiran dan pencapaian anggota serta veteran, semasa dalam perkhidmatan berdasarkan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS).
“Perjuangan anggota tentera tidak berakhir apabila tempoh perkhidmatan tamat, sebaliknya mereka masih boleh meneruskan bakti kepada negara melalui pelbagai sumbangan lain.
“Pembangunan modal insan dan kesejahteraan sosioekonomi veteran ATM adalah antara keutamaan strategik yang mesti diberikan perhatian serius,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia menerusi RPEL dan Sijil Perhebat di Kem Sungai Buloh, di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata Perhebat akan terus berusaha membantu anggota ATM yang bakal bersara mempersiap diri dengan latihan, pendedahan serta kemahiran bersesuaian bagi menghadapi dunia pekerjaan pasca perkhidmatan.
Pada tahun ini, beliau berkata sebanyak 3,473 anggota ATM menamatkan latihan peralihan di seluruh negara bagi tujuan itu.
Mohamed Khaled berkata dalam usaha menyediakan latihan dan mengendalikan proses peralihan, Perhebat mesti bergerak dengan cara yang membolehkan veteran ATM berdikari dan menjalani kehidupan sejahtera serta produktif menerusi latihan peralihan yang mantap.
Beliau berkata Perhebat juga perlu memperhebat hubungan dengan industri dan pasaran pekerjaan serta menjadikan institusi itu lebih anjal, terbuka dan berorientasikan prestasi.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan dalam kenyataan memaklumkan Mohamed Khaled hari ini, menyaksikan majlis menandatangani lapan memorandum dan nota persefahaman antara Perhebat dengan pihak industri.
Memorandum dan nota persefahaman itu bagi manfaat bakal pesara dan veteran ATM dalam skop penempatan pekerjaan, peluang keusahawanan dan program latihan.
Ia melibatkan Boustead Petroleum Marketing (BHPetrol), Askar Timbalan Setia Negeri Johor, Maxis Broadband, TAB Security, Kamatech Automotive & Engineering, Hexide Engineering, AMS Caddy Academy dan Nur Lembah Pangsun Eco Resort.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial