AM

Bawa Kaligrafi Tulisan Tangan Ke PBAKL Untuk Perkenalkan Seni Khat

30/05/2025 10:24 AM

Oleh Puti Iylia Maisarah

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Niatnya bukanlah ingin menjual hasil seni khat dan kaligrafi semata-mata pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025, namun penyertaan kali ini membawa misi untuk memperkenalkan seni berkenaan kepada masyarakat.

Dr Hassan Bai, 57, seorang pakar akupuntur dari China yang kini menetap di Malaysia berkongsi dengan Bernama bahawa beliau menjadikan seni kaligrafi sebagai medium dakwah dan terapi jiwa.

Bermula sebagai hobi sewaktu di universiti, Hassan mula tertarik dengan seni lukisan tradisional Cina sebelum mendalami kaligrafi Islam secara kendiri menerusi video dalam talian dan perkongsian bersama peminat seni.

“Saya mula meminati seni lukisan Cina, kemudian saya belajar sendiri kaligrafi Arab daripada YouTube, Facebook dan saya praktik setiap hari,” katanya ketika ditemui di reruai beliau, MUHA International, pada PBAKL di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini baru-baru ini.

Beliau berkata seni kaligrafi tidak boleh dipisahkan daripada penghayatan terhadap maksud ayat al-Quran kerana ia memerlukan ilmu serta kefahaman mendalam untuk menghasilkan tulisan yang tepat dan penuh adab.

“Kalau kita tahu maksud ayat, kita akan lebih berhati-hati. Tidak boleh silap. Perlu serius dan sabar apabila menulis. Tulisan ini bukan biasa-biasa, ia ayat Allah,” katanya sambil menambah setiap goresan dakwat ialah satu bentuk penghayatan spiritual.

Sebagai seorang mualaf yang berasal dari Negara Tembok Besar, karya kaligrafi beliau telah merentas benua termasuk Australia, Eropah serta beberapa negara Asia Tenggara antaranya Brunei dan Singapura dengan pembelinya pula datang daripada pelbagai latar belakang agama dan bangsa.

“Baru-baru ini ada orang Estonia beli, juga dari Hong Kong dan Taiwan. Seni ini untuk semua yang cintakan keindahan dan makna,” katanya.

Beliau berkata walaupun teknologi membuka ruang kepada cetakan digital, Hassan percaya bahawa sentuhan tangan manusia masih mempunyai nilai tersendiri.

“Kalau cetak mungkin RM10, tetapi kalau tulisan tangan boleh jadi RM100, RM1,000 sebab setiap karya itu tidak sama. Ia hasil daripada hati dan tangan manusia,” katanya yang sudah berpengalaman selama 12 tahun dalam tulisan kaligrafi. 

Namun, Hassan tidak menafikan cabaran, terutama untuk menarik minat generasi muda terhadap seni tradisional yang semakin terpinggir.

“Seni ini satu budaya. Macam kita bawa makanan ke pesta, saya bawa khat. Saya nak orang lihat keindahan Islam dan seni bukan sekadar huruf,” katanya yang turut menghasilkan khat dalam tulisan Arab, Cina dan gabungan kedua-duanya.

Sementara itu, seorang pembeli karya Hassan yang ditemui Bernama, Noor Nizreen Osman, 50, berkata sebagai seorang peminat seni kaligrafi, dia sanggup menghabiskan ratusan ringgit demi membeli hasil tulisan tangan yang indah itu.

“Saya memang minat dengan seni khat dan pernah beli satu tulisan kaligrafi dengan harga RM500. Setakat ini saya dah kumpul kira-kira 20 kaligrafi. 

“Kebanyakan kaligrafi yang saya beli hasil karya penulis khat dari Malaysia dan Turkiye, tetapi saya susah nak jumpa penulis khat dari China. Jadi apabila terjumpa, seperti sekarang ini saya kebetulan ke pesta buku dan ternampak rerurai beliau, saya terus beli,” kata pekerja swasta itu. 

PBAKL yang berlangsung dari 23 Mei hingga 1 Jun ini bertemakan "Buku: Membaca, Memimpin" menampilkan lebih 700 reruai melibatkan hampir 200 penerbit dari dalam dan luar negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan