AM

Wan Azizah Santuni Warga Emas, Sampaikan Bantuan Menerusi Ziarah Kasih MADANI

01/05/2025 04:44 PM

KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, hari ini menyantuni tiga warga emas dalam kawasan Parlimen Bandar Tun Razak menerusi Program Ziarah Kasih MADANI.

Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Kawasan Bandar Tun Razak turut menyampaikan sumbangan kewangan bulanan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), selain bantuan keperluan asas bagi meringankan beban kos perubatan yang ditanggung oleh warga emas tersebut.

"Alhamdulillah, pagi ini saya berkesempatan menziarahi tiga pesakit. Yang pertama di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM), untuk melawat Puan Siti Fatimah, 88 tahun, yang telah lama sakit dan kini ditempatkan di wad kecemasan," katanya kepada media di Cheras, di sini.

Dua lagi pesakit yang turut dilawati Dr Wan Azizah ialah Abdul Aziz Abu Bakar, 61, dan bekas rakan setugasnya Md Zin Abu Kasim, 75, masing-masing di Taman Ikhlas dan Taman Mewah di Cheras.

Turut hadir pada program itu Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin, Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Kanan, Jabatan Kebajikan Masyarakat  Daerah Cheras dan Bandar Tun Razak Datuk Seri Mohd Shahrulnizam Mazlan, Penyelaras Skuad Jejak Asnaf Muhammad Ishak Zulkifly serta beberapa petugas MAIWP.

Sementara itu, Abdul Aziz meluahkan rasa terharu atas kunjungan dan sumbangan yang disampaikan Dr Wan Azizah.

Menurutnya, beliau mengalami kecederaan serius akibat dilanggar lori dalam kemalangan pada 13 April lepas, dan kini bergelut dengan pelbagai masalah kesihatan termasuk patah tulang rusuk serta keretakan pada bahagian belikat.

“Saya pesara, jadi pencen bulanan yang saya terima hanya sekitar RM300. Dengan adanya sumbangan ini, sedikit sebanyak dapat meringankan beban perbelanjaan harian saya. Mereka juga kata akan mempertimbangkan bantuan susulan memandangkan ada anak-anak saya yang masih belajar,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan