KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Langkah kerajaan menyemak semula Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bukan reaksi yang tergesa-gesa, sebaliknya telah melalui proses perbincangan sejak dua minggu lepas.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata perbincangan tersebut telah bermula daripada draf yang telah dibentangkan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Ekonomi kepada Jemaah Menteri.
“Kita sebenarnya dah berbincang, dalam sidang media saya beberapa minggu yang lepas, saya telah sebut bahawa Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah memberi arahan...untuk meneliti draf yang telah dibentangkan oleh KSU Kementerian Ekonomi.
“Seperti yang umum sedia maklum, sebarang dasar program ataupun keputusan yang dibuat, pertama mesti dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
“Maka Perdana Menteri telah minta supaya pada Jumaat minggu lepas, semua kementerian meneliti draf dan menulis kepada Kementerian Ekonomi dengan maklum balas,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Nadi Aspirasi Nasional Bersama Anak Muda (NANBA) anjuran Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di sini, hari ini.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata berikutan perkara itu, satu sidang khas Jemaah Menteri telah diadakan pada Isnin minggu lepas untuk meneliti pandangan daripada semua kementerian.
“Dalam mesyuarat itu telah dilihat banyak perkara yang telah diminta oleh kementerian-kementerian yang perlu diambil kira oleh Kementerian Ekonomi dalam membentuk dokumen RMK13.
“Itulah antara sebab kenapa Jemaah Menteri pada Rabu lepas, (iaitu) mesyuarat yang terakhir, telah memutuskan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah diminta untuk menggalas tugas dan fungsi Menteri Ekonomi,” katanya.
Terdahulu, bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli dilaporkan telah mempersoalkan langkah kerajaan menyemak semula RMK13 sebagai reaksi tergesa-gesa terhadap kritikan di media sosial.
Perkara itu susulan pengumuman Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar semalam, yang memaklumkan Amir Hamzah telah ditugaskan untuk “mengolah dan merombak semula” RMK13 sambil menjalankan tugas dan fungsi Menteri Ekonomi berkuat kuasa serta-merta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial