AM

Isu Kemboja–Thailand: Mesyuarat GBC Diadakan Di Kuala Lumpur minggu Depan

01/08/2025 06:24 PM

PUTRAJAYA, 1 Ogos (Bernama) -- Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) bagi rundingan damai untuk menyelesaikan konflik sempadan antara Kemboja dengan Thailand akan diadakan di Kuala Lumpur pada Selasa depan, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata perkara itu dibangkitkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pihak Thailand meminta mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan tidak dilakukan di Phnom Penh, tetapi dibawa ke Kuala Lumpur dan hal itu akan diuruskan oleh pihak Kementerian Pertahanan,” katanya pada sidang media pasca-Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Mesyuarat GBC pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 4 Ogos ini di Phnom Penh.

Sebelum mesyuarat GBC berlangsung, satu pertemuan pra-GBC akan diadakan di ibu negara pada Isnin.

Fahmi berkata kedua-dua sesi terbabit akan disertai wakil pertahanan dari negara ASEAN serta kuasa besar termasuk Amerika Syarikat (AS) dan China.

“Atase pertahanan bagi negara-negara ASEAN akan dijemput untuk hadir serta atase pertahanan dari AS dan China (turut diundang),” katanya.

Dalam sesi berkenaan, beberapa aspek penting akan dibincangkan termasuk rundingan lanjut dan pembentukan pasukan pemantau yang akan dipertanggungjawabkan kepada negara ASEAN bagi memastikan gencatan senjata berjalan lancar dan berkesan, kata Fahmi.

Selain itu, Fahmi berkata perkembangan positif Kemboja dan Thailand disifatkan oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar sebagai satu bentuk gencatan senjata paling singkat berjaya dicapai dalam tempoh tiga hari.

Ketegangan di kawasan sempadan bermula dengan pertempuran kecil pada 28 Mei, sebelum mencetuskan konflik bersenjata sepenuhnya pada 24 Julai.

Pada 28 Julai, Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat susulan mesyuarat khas di Putrajaya yang dipengerusikan oleh Anwar selaku Pengerusi ASEAN ketika ini.

Dalam mesyuarat itu, Thailand yang diwakili Pemangku Perdana Menteri Phumtham Wechayachai manakala Kemboja oleh Perdana Menterinya Hun Manet turut mencapai persetujuan mengadakan mesyuarat GBC sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata berkenaan.

Sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum ditandai secara rasmi itu telah lama menjadi isu sensitif antara kedua-dua negara, yang beberapa kali mencetuskan ketegangan dan menjejaskan hubungan diplomatik.

Fahmi dalam pada itu, berkata Perdana Menteri telah memaklumkan Jemaah Menteri mengenai perbualan telefon antara beliau dengan Presiden AS Donald J. Trump semalam.

“Perdana Menteri memaklumkan mengenai panggilan telefon antara beliau dan juga Presiden AS Donald Trump yang telah berlangsung kira-kira pukul 6.50 pagi semalam.

“Dalam perbualan telefon itu, Perdana Menteri menerima maklumat daripada Presiden Trump mengenai kejayaan mengemudi isu melibatkan sempadan Thailand dan Kemboja,” kata Fahmi.

Trump dilaporkan menyatakan penghargaan terhadap peranan berkesan yang dimainkan oleh Malaysia dalam membantu menyelesaikan konflik antara Thailand dengan Kemboja.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan