AM

Malaysia Pastikan ASEAN Bersatu Demi Kestabilan, Keamanan Serantau - PM

29/07/2025 11:08 PM

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Malaysia akan memastikan ASEAN lebih tegap serta melangkah sederap atau seiring demi kestabilan, kemakmuran dan keamanan sejagat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Malaysia komited memacu pelaksanaan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), mempercepat Grid Tenaga ASEAN serta memuktamadkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN bagi menjamin masa depan ekonomi yang terbuka, adil dan lestari untuk 660 juta rakyat di rantau ini. 

"Justeru, ASEAN akan terus bersuara, menjamin kerukunan dan memimpin dengan ketegasan, dan tidak sekadar mengikut susun atur orde global," kata beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Perdana Menteri berkata dunia kini dirundung ketegangan kuasa besar, perlumbaan geoekonomi yang melelahkan dan keruntuhan multilateralisme.

Anwar berkata sehubungan itu, ASEAN tidak boleh melemah, berpecah dan ketinggalan sebaliknya mesti bersatu bagi memperkukuh peranan ASEAN serta memastikan suara rantau ini terus dihormati.

Sebagai contoh, beliau berkata Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 telah memimpin usaha mendamaikan Kemboja dan Thailand, yakni dua negara tetangga yang hampir terseret ke kancah konflik yang lebih dahsyat.

"Dengan penglibatan aktif China dan Amerika Syarikat, kita berjaya capai persetujuan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat.

"Ini bukti betapa diplomasi mesti memayungi usaha kita menjelmakan keamanan dan kepimpinan yang tegas," katanya.

Anwar, yang kini dalam lawatan kerja ke Indonesia, turut memaklumkan bahawa beliau tampil buat julung kalinya di Gedung Sekretariat ASEAN yang berpusat di Jakarta bersempena peranan penting Malaysia selaku Pengerusi blok itu tahun ini.

"Ia antara lain menggariskan serta menonjolkan lambang komitmen kita yang tidak berbelah bahagi terhadap cita dan semangat ASEAN yang kental dan luhur," kata beliau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan