AM

Bantuan Rakyat Malaysia Tembusi Gaza Selepas Enam Bulan Sekatan

29/07/2025 10:18 PM

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) --Sebanyak 2,400 tan bantuan kemanusiaan sumbangan rakyat Malaysia berjaya menembusi Gaza awal pagi semalam melalui pintu masuk Jambatan Raja Hussein di Jordan.

Penghantaran tersebut merupakan kejayaan pertama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia merentasi sempadan sejak Israel menutup semua laluan masuk ke Palestin pada 2 Mac lepas.

Pengarah Misi Bantuan Kemanusiaan Karisma (KHOM) Nik Marina Hussin berkata bantuan itu digerakkan melalui konvoi 60 trak dikendalikan Tentera Darat Jordan (JAF), dengan kerjasama Program Makanan Sedunia (WFP) dan World Central Kitchen.

"Bantuan berupa kotak makanan dan susu bayi ini adalah hasil sumbangan rakyat Malaysia yang tersimpan di gudang di Jordan sejak Mac lalu berikutan penutupan sempadan, kemudian diserahkan segera kepada JAF.

“Difahamkan, konvoi diketuai JAF bersama agensi antarabangsa berjaya memasuki Gaza awal pagi semalam dan KHOM antara yang terawal menyerahkan bantuan kepada penduduk yang kini berdepan krisis kebuluran," katanya dalam kenyataan hari ini

Menurut beliau, pihak berkuasa Jordan pada Sabtu lepas memaklumkan kelulusan rasmi pelepasan bantuan KHOM ke Gaza, menjadikan NGO itu yang pertama dari Malaysia berjaya menyalurkan bantuan rentas sempadan ke wilayah bergolak itu dalam tempoh hampir enam bulan.

Nik Marina turut merakamkan penghargaan kepada Raja Jordan, Raja Abdullah II, atas ketegasan Baginda menerusi titah diraja yang membolehkan bantuan berkenaan dihantar ke Gaza.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada JAF, Organisasi Kebajikan Hashimiyah Jordan (JHCO) dan semua agensi yang membantu memastikan bantuan KHOM diberi keutamaan dalam misi kemanusiaan keenam anjuran kerajaan Jordan ke Gaza sejak penutupan sempadan itu.

"Jeda politik di Gaza sangat rapuh. Sebelum perang pun, wilayah itu memerlukan tidak kurang 1,000 trak makanan sehari, apatah lagi dalam keadaan kritikal kini apabila kebuluran dijadikan senjata perang," katanya.

Beliau berkata, penghantaran itu adalah amanah rakyat Malaysia yang terus menyumbang sejak konflik Gaza tercetus pada 7 Okt 2023 dan KHOM komited meneruskan usaha murni ini dengan sokongan berterusan rakyat.

Sumbangan boleh disalurkan melalui laman web rasmi KHOM di www.khom.org.my.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan